Tiga lelaki ditahan bersama dadah, pokok ganja

Omar Bakhtiar menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian hari ini. - Foto Bernama
Omar Bakhtiar menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah serta sebatang pokok ganja, ditanam dalam tong plastik menerusi dua serbuan di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada jam 8 malam polis menahan dua lelaki yang sedang leka menghisap dadah di sebuah pondok kosong di Jalan Taiping-Masjid Tinggi di sini, 17 Julai lepas.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.5 gram, satu botol kaca dan satu pemetik api yang digunakan untuk menghisap dadah.

"Pemeriksaan selanjutnya, polis menemukan dua helai daun ganja seberat 1.65 gram yang diletakkan di dalam satu buku kecil berwarna biru dalam keadaan tertutup," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Kerian di sini hari ini.

Menurut Omar Bakhtiar, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki dan menemukan sebatang pokok ganja setinggi 73.66 sentimeter yang ditanam dalam satu tong plastik berwarna putih, di sebuah rumah di Batu 10, Jalan Taiping di sini pada malam yang sama.

Beliau berkata, suspek yang juga abang kepada seorang daripada suspek kes pertama mengaku telah menanam pokok ganja itu menggunakan biji ganja yang dibeli ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, polis telah menahan 10 lelaki dan seorang wanita termasuk dua pengedar dadah selain merampas 148.38 gram heroin dan 77.61 gram methamphetamine dengan nilai keseluruhan RM15,000 dalam Op Tapis, di tiga tempat berasingan di sini pada 12, 14 dan 15 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan di dalam serbuan yang dijalankan di Perumahan Residensi Prima Bagan Serai, di sebuah Inap Desa di Jalan Parit Buntar 1 dan di Taman PPR Parit Haji Wahab, Bagan Serai," katanya.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.- Bernama