Malaysia teroka kerjasama berpotensi dengan Palestin

Darell Leiking
Darell Leiking
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk membawa delegasi terdiri daripada kerajaan dan perniagaan, termasuk Khazanah Nasional Bhd, ke Palestin untuk meneroka kerjasama berpotensi dalam bidang kewangan Islam, pertanian dan tenaga boleh diperbaharu.

Dalam kenyataan pada Rabu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, Malaysia juga berpendapat usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Palestin sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Darell mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi Negara Palestin, Dr Abeer Odeh, dan Pengerusi Bank of Palestine, Hashim Shawa pada 22 Januari di luar Forum Ekonomi Dunia 2019 di Davos, Switzerland.

Tujuannya untuk membuat susulan daripada mesyuarat antara kerajaan Palestin dengan Khazanah. Khazanah berperanan sebagai cabang pelaburan Dana Pelaburan Palestin dalam pasaran modal global dan serantau.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, Palestin telah menyatakan penghargaannya atas sokongan politik dan ekonomi yang berterusan dari Malaysia.

Delegasi itu juga mempelawa pemimpin Malaysia untuk berkunjung ke Palestin.

Bagi tujuan memperkukuh kerjasama perdagangan dua hala dengan Malaysia, Palestin mencadangkan Memorandum Persefahaman khusus untuk kerjasama dalam aspek barangan; perkhidmatan; pelaburan; tenaga; teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Palestin juga mencadangkan idea mewujudkan jalinan antara ejen pelancongan dari kedua-dua negara dalam menyediakan pakej ziarah ke Baitulmuqaddis dan Bethlehem.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pelaburan, Palestin mengetengahkan peluang berpotensi untuk Malaysia dalam bidang ICT; tenaga boleh diperbaharu; kewangan Islam dan pelancongan.

Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi adalah persepsi negatif terhadap situasi ekonomi dan politik di Palestin, terutamanya dengan penjajahan Israel.

Palestin juga memaklumkan bahawa lawatan delegasi perniagaan ke Malaysia akan dilaksanakan tahun ini untuk memanfaatkan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara.

Lawatan itu akan dibuat sempena Pameran Halal Malaysia 2019.

Dari segi perdagangan dua hala semasa, jumlah perdagangan Malaysia dengan Palestin bagi tempoh Januari hingga November 2018 meningkat 32 peratus kepada RM13 juta berbanding tempoh sama 2017. Jumlah eksport meningkat kepada RM7.7 juta, manakala import meningkat kepada RM5.3 juta.

Lima eksport utama ke Palestin pada 2017 termasuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit; produk perkilangan berasaskan minyak sawit, makanan diproses; peralatan optik dan saintifik serta produk kayu. - Bernama