PRK Slim: UMNO Perak sudah ada 9 calon

Mohd Zolkafly Harun
Mohd Zolkafly Harun
A
A
A

LUMUT - UMNO Perak sudah mempunyai sembilan nama individu untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mewakili Barisan Nasional (BN) Ogos depan.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, semua calon berkenaan merupakan dalam kalangan anak tempatan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim.

"Senarai panjang kita dah ada dah dalam lapan ke sembilan orang tempatan yang semuanya daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim.

"Sudah tentu ada kriteria yang kita lihat, namun penjelasan secara terperinci mengenai calon itu biarlah Datuk Saarani Mohamad selaku Pengerusi UMNO Perak umumkan," katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja ke Pulau Pangkor di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak berkata, satu mesyuarat khas UMNO Perak dipengerusikan Saarani akan diadakan pada Sabtu ini yang antara lain membincangkan PRK DUN Slim dan calon.

"Kita bersiap sedia dari sekarang dan akan menyusun segala kegiatan dan kempen bersesuaian dengan peraturan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Berdasarkan kekuatan dan keputusan pilihan raya sebelum ini, kita yakin boleh menang," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini, tarikh penamaan calon ditetapkan 15 Ogos manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 17 Julai lalu berikutan penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong pada jam 4.15 petang, 15 Julai yang lalu akibat serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.

Allahyarham dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada tahun 2004 lalu.

Untuk rekod, pada PRU14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.