PRU15: Kerjasama Bersatu Blackout, PH belum diputuskan

Mukhriz pada program Bersatu Blackout bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di Alor Setar, baru-baru ini.
Mukhriz pada program Bersatu Blackout bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di Alor Setar, baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kumpulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout belum memutuskan ketetapan sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu perlu dilihat perkembangannya sebelum mengumumkan sebarang bentuk kerjasama baharu.

Beliau yang merupakan salah seorang ahli kumpulan Bersatu Blackout bagaimanapun berkata, pihaknya akan bersama PH dalam isu-isu berkaitan dan berkepentingan bersama.

“Untuk ke arah pilihan raya, yang itu perlu tunggu dan lihat keputusannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, PH Plus Bersatu sudah terbubar, susulan Bersatu kini berpecah kepada dua kem.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menolak sebarang kerjasama yang memanfaatkan dua pihak.

“Secara rasminya Bersatu Blackout diketuai bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini merupakan blok ketiga di Parlimen. Dalam banyak perkara, kita akan bersama dengan PH, contohnya isu menggugurkan jawatan Speaker di mana kita mengundi bersama PH,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, sekumpulan ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan itu mewakili PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bersatu Blackout yang merupakan blok Bebas.