Anak bawah 12 tahun boleh kongsi bilik kuarantin dengan ibu bapa

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membenarkan anak berusia 12 tahun ke bawah berkongsi bilik dengan ibu bapa di stesen kuarantin ditetapkan dengan syarat mereka pulang dari tempat yang sama, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya, mereka yang ingin berkongsi bilik perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

"Ini supaya mereka faham akan risiko jangkitan sekiranya berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Parlimen hari ini.

Berkuat kuasa esok (24 Julai) kerajaan mewajibkan mana-mana individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara agar menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan dan bukan lagi di rumah dan mereka yang terlibat juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan.

Ini berikutan kegagalan sesetengah individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah tetapi keluar ke tempat awam dan makan di restoran seperti tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Sementara itu, bagi pelajar tajaan, penaja diminta untuk membayar kos kuarantin pelajar yang terlibat dan bagi pelajar daripada keluarga B40 pula, mereka boleh memohon pengecualian bayaran.

"Orang kurang upaya (OKU) juga dikecualikan daripada bayaran kos kuarantin," katanya.

Katanya, peraturan saringan sebelum berlepas ke negara ini adalah tertakluk kepada peraturan negara asal dan syarikat penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, proses kuarantin wajib terpakai kepada semua rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ini melalui semua laluan udara, laut dan darat termasuk mereka yang tiba dari Singapura di Johor Bharu melalui Tambak Johor.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu kuarantin melibatkan penumpang pesawat dari atau ke Sarawak, Ismail Sabri berkata, setakat ini peraturan itu hanya tertakluk kepada penumpang yang datang dari luar negara dan transit di KLIA dan kemudian terbang ke Sarawak.

"Untuk penumpang Semenanjung berulang-alik, belum ada keputusan sama ada mereka wajib dikuarantin tetapi mereka akan diperiksa secara rambang di Sarawak untuk mengesan sama ada mereka bergejala atau tidak," katanya.

Seorang penumpang dalam penerbangan Kuala Lumpur-Kuching adalah antara 16 kes terbaharu Covid-19 yang dilaporkan semalam. - Bernama