Dua tekong darat bawa masuk 269 PATI Rohingya ditahan

Dua lelaki yang juga pemegang kad UNHCR itu ditahan di sebuah restoran di kawasan Padang Matsirat pada 3 pagi Selasa lalu. Gambar hiasan.
Dua lelaki yang juga pemegang kad UNHCR itu ditahan di sebuah restoran di kawasan Padang Matsirat pada 3 pagi Selasa lalu. Gambar hiasan.
A
A
A

LANGKAWI - Dua tekong darat atau 'dallal' yang dipercayai terlibat menyeludup masuk 269 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya ke pulau ini pada 8 Jun lalu ditahan, awal pagi kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dua lelaki etnik Rohingya berumur 29 dan 35 tahun itu ditahan dalam operasi khas bersepadu pihaknya bersama polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurutnya, risikan dilakukan hampir dua bulan untuk mengesan dua suspek utama terbabit yang dipercayai bergiat aktif menguruskan kemasukan PATI etnik Rohingya ke Langkawi.

"Dua lelaki yang juga pemegang kad UNHCR itu ditahan di sebuah restoran di kawasan Padang Matsirat pada 3 pagi Selasa lalu. Semasa ditahan, mereka cuba memberi rasuah sebanyak RM25,000 kepada Pegawai Penguatkuasa Maritim Malaysia bagi memberi laluan untuk kemasukan migran melalui jalan laut.

"Susulan tangkapan itu dan maklumat daripada suspek yang ditahan serta aduan orang awam, satu lagi pasukan operasi berjaya menahan 31 PATI etnik Rohingya di sebuah rumah di Kuala Teriang yang dijadikan transit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 269 etnik Rohingya ceroboh perairan Langkawi

Sekumpulan pelarian Rohingya mendarat di Langkawi

Pelarian Rohingya ceroboh Langkawi akan ditempatkan di negara ketiga

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin, Panglima Markas Wilayah Laut 3 TLDM Laksamana Pertama Abd Hamid Ali dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Kedah Mustafa Kamal Ahmad.

Mohd Zawawi berkata, turut ditahan ialah penjaga rumah tersebut (warga Myanmar) bersama isterinya warga Thailand dan seorang lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai 'transporter', pada jam 4 pagi," katanya.

"Kedua-dua suspek utama akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2000. Seramai 34 orang lagi yang ditahan akan disiasat mengikut Akta (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63.

"Kita harap menerusi tangkapan ini akan menyusahkan usaha PATI untuk masuk ke perairan Langkawi memandangkan dua suspek utama telah ditahan. Namun begitu, pihak berwajib akan sentiasa melakukan rondaan untuk menangani masalah ini," katanya. - Bernama