Murahnya emas di Terengganu!

Khairuazura Abd Rahman, 50, dan Nor Sofea Mohd Nor, 30, menunjukkan koleksi emas yang terdapat di kedai mereka.
Khairuazura Abd Rahman, 50, dan Nor Sofea Mohd Nor, 30, menunjukkan koleksi emas yang terdapat di kedai mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rambang mata melihat kilauan emas di Terengganu yang dikatakan antara yang termurah di pasaran sekarang ini.

Masakan tidak, tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Kedai Payang misalnya mendapati, rata-rata peniaga emas menjual emas 916 pada harga RM160 hingga RM165 per gram, berbanding di tempat lain, yang dijual antara RM170 hingga RM190.

Ia juga dikatakan lebih murah antara 10 hingga 20 peratus berbanding di tempat lain, menjadikan ia masa terbaik untuk membeli emas bagi peminat setianya.

Difahamkan, harga emas mula turun sejak penghujung tahun lalu, dek kerana itu, penjualan emas semakin meningkat dan dijangka akan memuncak pada musim perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Pengarah Azura Jewel's Sdn Bhd, Khairuazura Abd Rahman, 50, yang mula berniaga emas di Pasar Besar Kedai Payang sejak 1994 mengakui perkara itu dan berkata, kos sewa kedai yang murah, di samping faktor bekerja sendiri dan tempat tumpuan pelancong menjadikannya lebih murah.

"Sebenarnya harga emas di Terengganu memang murah tapi sejak penghujung tahun lalu iaitu pada musim cuti sekolah, harga emas mula turun menyebabkan sambutan yang diterima cukup baik.

" Ia diakui sendiri oleh orang luar kerana ramai pelanggan saya dari Kuala Lumpur, Johor dan Melaka akan datang beli di Terengganu. Malah, ada yang datang untuk tempah, ramai juga yang mencari gelang ‘Koko Sajat'.

"Kualiti emas juga kita jaga. Kalau ada yang kata kualiti tidak bagus menyebabkan harga murah, ia pandangan yang salah sama sekali kerana kerajaan sudah standardkan mutu emas 916 dan kita jaga kualiti emas yang kita jual," katanya yang menjual emas 916 pada harga RM163 dan harga itu masih lagi boleh dirunding.

Artikel Berkaitan:

Nurshilla Majid, 32, menunjukkan gelang ‘Koko Sajat' yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.
Nurshilla Majid, 32, menunjukkan gelang ‘Koko Sajat' yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.

Pengurus Kedai Emas Es Gold, Nurshilla Majid, 32, turut mengakui perkara yang sama dan berkata, kos sewa kedai yang murah dan pasarannya lebih rendah berbanding di tempat lain menyebabkannya lebih murah.

Malah katanya, pada setiap kali musim cuti, kedai-kedai emas di Pasar Payang akan menjadi tumpuan pengunjung.

"Sekarang ini memang kebanyakannya membeli emas 916 berbanding Emas 10 kerana ia lebih lembut, tidak berkilat cantik. Berbanding dengan emas 916, ia sudah dicampur sedikit, berkilat dan boleh dipakai lama dan cantik serta tahan lama.

"Kedai saya menjual pada harga RM160 dan kebanyakan pelanggan luar terutamanya, datang mencari reka bentuk yang tular sekarang ini, iaitu jenis ‘Koko Sajat'. Ia dijual pada harga RM700 hingga RM17,000 dan bergantung pada pelanggan jika ada yang naik lebih besar atau kecil," katanya.

Pelanggan berpusu-pusu membeli emas di Pasar Besar Kedai Payang.
Pelanggan berpusu-pusu membeli emas di Pasar Besar Kedai Payang.

Seorang lagi penjual emas, Nurul Amirah Wahab, 21, dari Kedai Emas dan Permata Wahab Bin Ali berkata, harga emas mula turun sejak musim cuti persekolahan hujung tahun lalu dan kini lebih murah antara 10 hingga 20 peratus berbanding tempat lain.

Katanya, faktor kos yang berbeza berbanding di tempat lain menyebabkan ia lebih murah.

Malah, dia turut mengakui pertambahan pelanggan sejak penurunan harga emas dan menjangkakan pelanggan akan meningkat pada musim cuti sempena Tahun Baru Cina nanti.

Beli emas ketika masih murah

Sejak tular mengenai harga emas yang murah di Terengganu, ramai pelanggan yang mengambil peluang untuk membeli emas ketika ini.

Rosni Amani Ahmad Nasir, 26, yang juga peniaga keropok berkata, harga yang murah berbanding tempat lain serta kualiti emas yang cantik dan baik menyebabkan dia turut membeli gelang baharu.

"Sekarang ini adalah masa yang berbaloi untuk membeli emas. Kalau kaum perempuan, tentunya mereka suka kerana selain sebagai perhiasan, ada juga yang menjadikannya sebagai aset," katanya.

Pelanggan dari Kelantan ini tidak melepaskan peluang untuk meninjau emas.
Pelanggan dari Kelantan ini tidak melepaskan peluang untuk meninjau emas.

Zaila Muda, 50, turut tidak melepaskan peluang untuk membeli emas setelah tular mengenai harga emas murah di negeri ini.

Dia yang mengetahui mengenainya melalui laman sosial berkata, dia berhasrat untuk membeli barangan kemas sementara harganya murah.

"Sebenarnya saya memang sudah lama berhasrat nak beli gelang baharu, tetapi apabila dapat tahu harga sudah jatuh, kami datang untuk tinjau harga dan beli yang mana berkenan di hati," katanya.