Permohonan Najib batalkan tuduhan pindaan laporan 1MDB, 7 Ogos depan

Najib (depan, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib (depan, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Ogos depan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu membatalkan pertuduhan yang dihadapinya membabitkan pendakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya memohon supaya tuduhan yang dikenakan ke atas Najib bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dibatalkan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah.

Ketika penghujahannya, beliau berkata, ia perlu digugurkan dengan alasan pertuduhan yang dibuat adalah tidak berasas malah pertuduhan yang telah dipinda sebelum ini dikatakan mengelirukan.

“Anak guam saya tidak melakukan kesalahan kerana laporan berkenaan disediakan oleh Ketua Audit Negara (AG) dan Jabatan Audit Negara (NAD).

“Tuduhan yang dibuat adalah cacat kerana laporan itu merupakan draf awal dan bukannya laporan akhir sebelum mesyuarat diadakan pada 24 Februari 2016,” katanya.

Shafee berkata, pihak pendakwaan dilihat menyalahgunakan proses pengadilan untuk mendakwa Najib tanpa alasan yang boleh dipercayai.

Bagaimanapun, ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menyatakan permohonan pihak pembelaan perlu ditolak kerana agak terlalu awal untuk mengemukakan bukti di peringkat awal.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini, hanya tujuh saksi dipanggil antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

“Pertuduhan yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 23 kerana menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan kepentingan peribadi,” katanya.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.