Motosikal elak dahan tumbang, dua kenderaan terbakar

Keadaan kereta yang hangus terbakar akibat kemalangan awal pagi tadi. Gambar kanan: Pasukan bomba sedang memadamkan kenderaan yang hangus terbakar.
Keadaan kereta yang hangus terbakar akibat kemalangan awal pagi tadi. Gambar kanan: Pasukan bomba sedang memadamkan kenderaan yang hangus terbakar.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara mengelak dahan pokok tumbang di atas jalan raya, dua kenderaan terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini hari ini.

Komandan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penguasa Bomba Kanan Md Munawir Md Yusof berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 6.15 pagi sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Honda EX5 cuba mengelak melanggar serpihan dahan pokok tumbang di atas jalan sebelum terjatuh.

"Akibat daripada itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner cuba mengelak dari melanggar motosikal tersebut di sisi jalan, namun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Honda Dash merempuh belakang kereta itu kerana tidak sempat mengelak.

"Rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terbakar," katanya.

Katanya, kesemua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan luka kecil di bahagian muka serta tangan.

"Seramai 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit.

"Operasi ditamatkan pada jam 7.20 pagi dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban," katanya.

Artikel Berkaitan: