X

Kindly register in order to view this article
!

Wajib mohon lesen terbit filem di media sosial

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem masing-masing sama ada di platform media sosial atau saluran tradisi, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keperluan berbuat demikian tidak kira sama ada mereka dari agensi media arus perdana atau media individu (media personal).

“Merujuk kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 Seksyen 22 (1), tiada seseorang boleh mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem-filem atau mana-mana gabungan aktiviti-aktiviti yang dinyatakan dalam Seksyen 21 (1) melainkan jika suatu lesen dikeluarkan yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang mahu tahu sama ada semua penerbit filem wajib membuat permohonan tersebut.

Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui FINAS berfungsi mengawal selia aktiviti perfileman melalui usaha memelihara dan memajukan industri perfileman negara berdasarkan Akta Perbadanan FINAS 1981 dan perundangan-perundangan kecil di bawahnya.

Saifuddin berkata, FINAS mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.

Menurutnya FINAS juga menerima, memproses dan mengeluarkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) Sijil Filem Iklan Buatan Malaysia (MIM) dan Surat Sokongan Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA).

Menjawab soalan Shu Qi mengenai tafsiran filem dan sama ada ia merangkumi video di aplikasi media sosial seperti Tiktok dan Instagram, Saifuddin berkata mengikut akta berkenaan, tafsirannya termasuk filem cerita, filem pendek, filem subjek ringkas, trailer, dokumentari, filem kecil dan iklan.

Ia juga katanya, termasuk apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video berupa arca-arca bergerak sama ada disertai bunyi atau tidak untuk dilihat orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai sama ada pemilik akaun Youtube Other Side of the Truth yang menerbitkan antaranya video tular How Malaysia Did the Impossible - koronavirus (Covid-19) mempunyai lesen, Saifuddin berkata:

“Ini saya serah kepada pihak berkuasa sekiranya ada aduan dan sebagainya kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang dan bergantung kepada sesuatu kes,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!