Perbadanan Pangkor dibentang pada sidang DUN Perak akan datang

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

LUMUT - Penubuhan Perbadanan Pulau Pangkor akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan bersidang Oktober ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu sedang diperhalusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) terutama dari aspek undang-undang.

"Secara dasarnya kerajaan negeri bersetuju dengan penubuhan perbadanan ini seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Perbadanan Labuan dan Lembaga Pembangunan Tioman.

"Dengan wujudnya perbadanan ini nanti, sudah tentulah peruntukan-peruntukan daripada kerajaan Pusat dapat disatukan untuk pembangunan Pulau Pangkor yang lebih strategik dan terancang," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Pulau Pangkor di sini hari ini.

Menurutnya, cadangan penubuhan perbadanan itu adalah selaras dengan pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari lalu.

"Untuk memajukan pulau bebas cukai bukanlah mudah, banyak keperluan perlu diberi perhatian. Buat masa ini kita ada

Sekretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang mengambil tanggungjawab mengurus keperluan-keperluan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) dalam lawatan kerjanya ke Pulau Pangkor hari ini.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) dalam lawatan kerjanya ke Pulau Pangkor hari ini.

"Insya-Allah apabila ada perbadanan nanti, tentulah pembangunan dapat dipercepat dan dipertingkat," katanya.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama jabatan dan agensi kerajaan serta pengusaha feri yang turut dihadiri Pengarah Sekretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor, Laila Mazwin Zakaria.

Mengulas lanjut Mohd Zolkafly berkata, antara perkara dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan termasuklah harga tiket, sistem keluar masuk di jeti, kesesakan di Jeti Marina dan Jeti Lumut serta semakan harga tiket feri untuk penjawat awam.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah kesesakan di jeti, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk menambah laluan keluar masuk di Jeti Pangkor daripada dua kepada empat laluan.

"Kerja membesarkan laluan itu dijangka bermula dua bulan lagi dan ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di jeti terutama pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta dan menjadi antara projek berimpak tinggi dilaksanakan di Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).