Daftar kahwin secara sah elak masalah pada anak

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan yang ingin berkahwin diminta supaya mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah bagi mengelakkan timbul masalah kepada anak mereka pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kegagalan mendaftarkan perkahwinan akan menyebabkan anak mereka sukar mendapatkan sijil kelahiran serta memberi kesan kepada status kewarganegaraan mereka.

“Bukan sewenang-wenangnya kita nak bagi kewarganegaraan kepada setiap kanak-kanak yang lahir di negara kita, mereka perlu ada dokumen sah perkahwinan ibu bapa.

“Jika ada permohonan yang lengkap, kita akan siasat, kita proses dan kita berikan sijil kepada kanak kanak ini yang lahir di negara kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang ingin tahu sama ada terdapat keperluan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalam proses permohonan kewarganegaraan yang dilihat rumit.

Ismail berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan satu SOP baharu mulai Januari 2020 bagi mempercepatkan proses dan meluluskan permohonan kewarganegaraan. - Bernama

Artikel Berkaitan: