Buruh didenda RM30,000 dera lembu

Tertuduh (tengah) dikenakan denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Besut hari ini selepas mengaku bersalah mendera seekor lembu.
Tertuduh (tengah) dikenakan denda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Besut hari ini selepas mengaku bersalah mendera seekor lembu.
A
A
A

BESUT - Seorang buruh dikenakan denda sebanyak RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendera seekor lembu dengan cara menetak haiwan tersebut hingga cedera.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh, Adnan Muhammad, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh dari Kampung Gerai Muda Lay Out, Jerteh turut berdepan dengan hukuman penjara setahun jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan kejam mendera sehingga menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor lembu milik Mohd Jamil, 56.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi kandang sebuah rumah di Kampung Gerai, Jerteh, di sini jam 6 pagi pada 21 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Adnan yang memakai baju lokap berwarna ungu mendera lembu berkenaan dengan menetak binatang itu pada bahagian kepala dan belakang.

Ekoran tetakan itu, lembu baka tempatan yang sepatutnya dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha nanti mengalami kecederaan di kepala, belakang dan punggung.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.