'Saya tidak takut berdepan anggota Taliban'

Kisah keberanian Qamar Gul yang menembak mati dua anggota Taliban menjadi bualan ramai sejak minggu lalu. - Foto Twitter
Kisah keberanian Qamar Gul yang menembak mati dua anggota Taliban menjadi bualan ramai sejak minggu lalu. - Foto Twitter
A
A
A

KABUL - Seorang remaja perempuan Afghanistan yang menembak mati dua anggota Taliban kerana membunuh ibu bapanya mendedahkan dia bersedia untuk berdepan dengan mana-mana militan yang cuba menyerangnya.

Remaja itu, Qamar Gul yang baru berusia 15 tahun membunuh anggota Taliban yang menyerbu kediamannya pada minggu lalu di sebuah kampung di daerah Taywara, wilayah Ghor.

"Saya tidak lagi takut dan bersedia untuk melawan mereka (anggota-anggota Taliban)," kata Gul kepada AFP melalui panggilan telefon pada Rabu.

Dia sedang tidur bersama adiknya yang berusia 12 tahun apabila tiba-tiba terdengar bunyi beberapa orang lelaki menolak pintu rumah mereka pada waktu malam.

"Ibu saya berlari untuk menghalang tetapi mereka sudah pun memecahkan pintu.

"Mereka membawa bapa dan ibu saya ke luar rumah dan menembak mereka beberapa kali. Saya berasa gerun," katanya.

Namun, perasaan marah menguasai diri, kata Gul.

"Saya mengambil senapang yang disimpan di rumah, pergi ke arah pintu dan menembak mereka," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Akhbar New York Times melaporkan pada Rabu lalu bahawa pembunuhan itu berpunca daripada perbalahan keluarga kerana salah seorang yang menyerbu rumah itu ialah suami Qul.

Beberapa pegawai memberitahu AFP, anggota-anggota Taliban itu juga membunuh bapanya kerana dia menyokong pihak kerajaan.

Menurut laporan berita ABC, anggota-anggota Taliban pergi ke rumah Gul kerana bapanya membuat aduan tentang kumpulan tersebut yang meminta bayaran cukai. - Agensi