Kes Covid-19 global melebihi 15 juta

Lebih 15 juta penduduk dunia dijangkiti wabak Covid-19 dengan 617,902 orang telah terkorban. - Gambar hiasan 123RF
Lebih 15 juta penduduk dunia dijangkiti wabak Covid-19 dengan 617,902 orang telah terkorban. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BEIJING - Kes koronavirus (Covid-19) yang disahkan secara global melebihi 15 juta pada Rabu, mencecah 15,008,046 pada 12.35 tengah hari (1635 GMT), menurut Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem di Johns Hopkins University, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.

Data menunjukkan seramai 617,902 orang di seluruh dunia telah terkorban disebabkan pandemik itu.

Di Houston, Texas melaporkan 197 kematian Covid-19, rekod tertinggi sejak pandemik bermula.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Texas, jumlah kematian Covid-19 mencecah 4,348 pada Rabu. Negeri tersebut turut melaporkan hampir 10,000 kes baharu disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 351,618.

Di Brasilia, Presiden Jair Bolsonaro sekali lagi diuji positif Covid-19, menyaksikan beliau masih perlu dikuarantin, kata pejabat presiden.

Setelah didapati positif semasa ujian yang dibuat pada Selasa, pejabat di Brasilia mengeluarkan kenyataan mengatakan ketua negara itu berada "dalam keadaan baik."

Di Geneva pula, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan pangkalan data undang-undang yang telah dilaksanakan pelbagai negara, sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19 untuk membantu melindungi kesihatan dan kesejahteraan individu serta masyarakat.

Inisiatif Covid-19 Law Lab, mengumpul dan berkongsi dokumen undang-undang daripada lebih 190 negara di seluruh dunia, bertujuan membantu mewujudkan dan melaksanakan kerangka kerja undang-undang yang kukuh untuk menguruskan pandemik, menurut pernyataan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Artikel Berkaitan:

Di Baitulmaqdis, Kementerian Kesihatan Israel mencatatkan 2,043 kes baharu Covid-19, menjadikan peningkatan keseluruhan di negara itu mencecah 56,085.

Ia kenaikan harian terbesar sejak pandemik menular di Israel pada akhir Februari, setelah catatan sebelumnya 2,039 dilaporkan pada Selasa.

Sementara itu di Santiago, Chile melaporkan 336,402 kes Covid-19 dan 8,722 kematian akibat pandemik berkenaan, selepas ujian mengesan 1,741 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir dan 45 lagi pesakit meninggal dunia.

Daripada kes baharu yang dikesan, 1,391 mempunyai simptom dan 238 lagi tidak menunjukkan sebarang gejala.

Di Warsaw, Kementerian Kesihatan Poland melaporkan tiga kemungkinan kawasan khas Covid-19, termasuk sebuah biara, hotel dan lombong, sehari selepas kes harian di negara itu mencatatkan paras tertinggi selama sebulan.

Kementerian melaporkan 380 kes baharu, sedikit menurun berbanding 399 pada Selasa, yang merupakan jumlah tertinggi dalam sebulan. Secara keseluruhan, kementerian mencatatkan 41,162 jangkitan dan 1,642 kematian sejak bermulanya pandemik.

Di Nairobi, Kenya menerima banyak bekalan perubatan antipandemik daripada kerajaan China melalui Pertubuhan Wanita Pertama untuk Pembangunan bagi membantu ibu dan anak-anak memerangi Covid-19.

Kedutaan China yang diamanahkan oleh wanita pertama, Peng Liyuan, menyerahkan pelbagai bekalan perubatan kepada Angella Githere-Langat, Penyelaras Inisiatif Beyond Zero Wanita Pertama Kenya, Margaret Kenyatta. - Bernama