Inisiatif KKMM bantu industri media terkesan Covid-19

Saifuddin - Foto fail Bernama
Saifuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa komited dalam menangani kesukaran dihadapi industri media ketika ini berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) apabila terdapat syarikat media terpaksa mengecilkan operasi mereka.

Menteri berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, situasi itu menyebabkan petugas media terpaksa menerima hakikat apabila perkhidmatan mereka ditamatkan oleh majikan yang terjejas akibat kesukaran itu.

Sebagai kementerian yang menaungi industri media, Saifuddin berkongsi beberapa inisiatif dilaksanakan KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam membantu rakyat menambah kemahiran baharu sekali gus membolehkan mereka mencari pekerjaan serta menjana pendapatan secara dalam talian.

Inisiatif dilaksanakan MDEC itu termasuk Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) - Penjana yang merupakan program khas disediakan untuk membantu golongan pekerja dan individu yang terjejas berikutan penularan wabak itu.

"Program GLOW – Penjana memberi fokus dan spesifik bagi memastikan kadar kejayaan pelaksanaan program yang lebih tinggi. Program ini juga memberi tumpuan untuk mengeksport kepakaran pekerja bebas (freelancer) tempatan dan menyasarkan tugasan-tugasan atau kerja sepenuhnya di pasaran global," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, antara sektor yang akan diberikan tumpuan ialah sektor perkhidmatan seperti tugasan sebagai pembantu maya, pegawai penyelidik dalam talian, penterjemah serta bidang kreatif termasuk pereka grafik, alih suara dan bidang teknologi maklumat (ICT) seperti pengaturcaraan.

Menurut beliau, berdasarkan statistik MDEC, sehingga tahun lepas, seramai 29,225 peserta dilatih dan telah menjana pendapatan keseluruhan lebih RM168 juta dan beliau mengalu-alukan pekerja industri media yang terjejas supaya mendaftar dengan program berkenaan.

Beliau berkata, MDEC turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengenal pasti kursus teknologi digital bersesuaian yang akan menjadi sebahagian daripada insentif pengambilan dan latihan PENJANA 2020.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi inisiatif ini, mereka yang layak mendapat perlindungan sosial PenjanaGig akan disyaratkan untuk bekerja dengan syarikat berkaitan ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC. Pencari kerja yang berminat boleh melayari portal http://www.myfuturejobs.gov.my,” tambahnya.

Selain itu, katanya, MDEC bersama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera, telah melancarkan program Jom Belajar Digital di bawah inisiatif #MyDigitalWorkforce yang menawarkan 3,800 kursus termasuk Sijil Latihan Profesional dengan permohonan dibuka sehingga 31 Disember depan.

“Antara kursus yang ditawarkan termasuk Automasi IT Google dengan Python, pengaturcaraan dan pengenalan Intel ke pembelajaran dalaman serta laluan kerjaya yang boleh disertai oleh peserta seperti analisis data dan pembangunan perisian,” katanya dan menambah bahawa pendaftaran boleh dilakukan di www.mdec.my/letslearndigital.

Saifuddin turut berkongsi mengenai Program 42 KL, iaitu sekolah pengaturcaraan komputer percuma yang menawarkan konsep pembelajaran dengan rakan sebaya berasaskan projek sebenar tanpa melibatkan guru atau menghadiri kuliah.

Pusat pertama di Malaysia akan dibuka di Sunway City dan sehingga kini sebanyak 20 negara telah melaksanakan program berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, minggu #MyDigitalWorkforce pula akan berlangsung selama seminggu bermula 24 hingga 28 Ogos ini melibatkan tiga komponen iaitu sesi webinar, ekspo kerjaya secara digital dan latihan dalam talian oleh rakan kongsi yang boleh dimanfaatkan pencari kerja.

Bagi membantu rakyat Malaysia memilih program latihan bersesuaian dengan keperluan dan minat masing-masing, MDEC juga akan melancarkan Direktori Latihan Kemahiran Digital pada Ogos ini bagi membantu pencari kerja mempelajari kemahiran teknologi digital yang berkaitan dengan industri, katanya.

Saifuddin berkata, MDEC turut memberi tumpuan kepada pengembangan bakat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dengan bekerjasama rapat bersama rakan industri.

“Berdasarkan inisiatif-inisiatif ini, saya berharap agar mereka yang terkesan dengan situasi semasa boleh memanfaatkan maklumat yang dinyatakan dan seterusnya membantu meringankan beban pengecilan operasi media akibat wabak Covid-19,” katanya. - Bernama