Bicara kes Pengerusi Mywatch ditetapkan 17, 18 September

Sanjeevan
Sanjeevan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan dua hari iaitu pada 17 dan 18 September bagi perbicaraan kes melibatkan Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk Seri R Sanjeevan yang didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan memuat naik dua hantaran palsu mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 18 Mac dan 16 Mei lalu.

Hakim M M Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon untuk perbicaraan bagi melengkapkan dokumentasi forensik.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memaklumkan kepada mahkamah hari ini, pihaknya telah menyerahkan dokumen bagi kes ini pada pihak pembelaan, bagaimanapun satu dokumen berkaitan laporan forensik masih belum lengkap.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi MyWatch tak mengaku buat hantaran palsu terhadap PDRM

Dalam prosiding itu, Sanjeevan diwakili Peguam Preakas Sampunathan.

Pada 5 Jun lalu, Sanjeevan, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter.

Mengikut pertuduhan pertama pada 18 Mac 2020 lalu jam 4.20 petang di aplikasi Twitter @SanjeevanSS, tertuduh secara sedar membuat hantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Hantaran itu telah dibaca pada 7 April 2020 jam 3.15 petang di pejabat Komunikasi Korporat PDRM, Aras 2 Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam daerah Dang Wangi, Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588] yang boleh dihukum 233 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan selanjutnya boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari bagi kesalahan itu yang diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 16 Mei lalu jam 9.07 malam di aplikasi Twitter My_CrimeWatch, tertuduh dengan sengaja membuat hantaran komunikasi palsu dengan niat sengaja menganiaya orang lain yang telah dibaca pada 17 Mei 2020 pada jam 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Bukit Aman di Tingkat 27, Menara KPJ dalam daerah Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan.

Tertuduh didakwa telah melalukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Media 1988 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh juga boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan selanjutnya boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari bagi kesalahan yang diteruskan selepas pensabitan.