UMP, HsKA perkukuh kerjasama dalam program kejuruteraan Jerman

Ir Dr Wan Azhar menunjukkan dokumen MoU yang termetrai antara UMP dan HsKA yang berlangsung secara maya baru-baru ini.
Ir Dr Wan Azhar menunjukkan dokumen MoU yang termetrai antara UMP dan HsKA yang berlangsung secara maya baru-baru ini.
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman yang bercorak Fachhochschule ke dalam sistem pendidikan di negara ini hasil kerjasama akademik yang terjalin sejak sedekad lalu.

Sebagai salah sebuah rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMP telah berjaya melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten bertaraf antarabangsa.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, bermula tahun 2010, seramai 135 pelajar UMP berjaya menamatkan program kerjasama dual ijazah di bawah program UMP-HsKA.

Menurutnya, ia membabitkan 79 pelajar yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik manakala 56 lagi mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif.

“Alumni program UMP-HsKA kini kebanyakannya telah berkhidmat di pelbagai agensi, industri dan syarikat antarabangsa termasuk di dalam dan luar negara.

“Kerjasama dengan negara Eropah ini bermula menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneruskan kolaborasi antara UMP dan HsKA, baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung secara maya membabitkan dua lokasi iaitu UMP kampus Pekan dan HsKA di Jerman yang diselaras Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC).

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu juga, Ir Dr Wan Azhar turut menandatangani MoU bagi meneruskan kolaboratif strategik dalam program automotif dan mekatronik serta program elektrik sebagai program baharu.

HsKA diwakili Presidennya, Profesor Dr-Ing Frank Artinger.

Ir Dr Wan Azhar berkata, hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola.

Menurutnya, melalui kerjasama itu memberi peluang kepada program penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan.

"Pada masa sama, turut dijalankan projek kerjasama penyelidikan antarabangsa membabitkan pelajar dari Jerman dan Malaysia dalam menjalankan International Team Oriented Project Studies (MYiTOPS) melalui tajaan geran bernilai 110 ribu Euro (RM 54,1957) daripada sebuah badan antarabangsa, Baden-Wurttemberg Foundation

"Dalam menjayakan program ini, UMP turut memperuntukkan geran bernilai RM1 juta bagi menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang teknologi hijau, pengeluaran mampan dan ekologi, kecekapan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui yang diketuai Profesor Dr Rizalman Mamat untuk tempoh lima tahun," katanya.

Tambah beliau, menjelang perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025, pihaknya menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti itu perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik di UMP.

Sementara itu, Profesor Dr-Ing Frank Artinger berkata, pihaknya bangga dengan kejayaan pelajar UMP dan hasil kerjasama itu memberikan kepercayaan pihak German Engineers (VDI Karlsruhe) untuk menyumbang anugerah kecemerlangan kepada pelajar cemerlang.

Menurutnya, UMP merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima sumbangan anugerah daripada VDI.

"Pertubuhan itu mempunyai kepakaran kejuruteraan dan teknologi, menyediakan perkhidmatan kepada jurutera, penasihat terhadap ekonomi, politik dan teknologi serta menyumbang kepada aspek teknikal dan saintifik dalam pembangunan kejuruteraan Jerman di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, seramai lima pelajar UMP berpeluang mengikuti pengajian program di Jerman melalui biasiswa Erasmus Mundus Joint Master Degree (EU4M).

Manakala program pertukaran staf ke Jerman membabitkan tiga pensyarah UMP iaitu Profesor Dr Rizalman Mamat, Ts Dr Muhammad Yusri Ismail dan Dr Ahmad Fitri Yusop manakala profesor dari Jerman, Profesor Dr Maurice Kettner dan Profesor Dr Ferdinand Olawsky ke UMP.