Sindiket rokok haram eksploit kelemahan sempadan negara

Laluan rokok seludup di Asia
Laluan rokok seludup di Asia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket jenayah terancang dipercayai mengambil kesempatan daripada kawalan keselamatan sempadan Malaysia yang lemah untuk menyeludup rokok haram masuk ke negara ini selain ‘mengeksport semula’ produk kontraban ini ke negara lain di rantau ini termasuk Australia.

Pengarah Urusan Retail and Trade Brands Advocacy (RTBA), Health Michael berkata, duti eksais tembakau yang tinggi adalah faktor utama meningkatkan permintaan rokok haram di Australia, bekalan barangan kontraban ini kebanyakannya datang dari negara sumber melalui Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan laporan RTBA bertajuk Rokok Haram di Rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Penyelesaian (April 2020) menunjukkan bahawa sempadan Malaysia terdedah kepada eksploitasi jenayah sebagai laluan penyeludupan utama keluar masuk rokok haram.

"Ini disebabkan penguatkuasaan yang masih tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, RTBA gembira dengan Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan keperluan untuk memperbetulkan beberapa kelemahan seperti meningkatkan pagar keselamatan dan menyusun semula kawalan keselamatan di pintu-pintu masuk negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut RTBA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang bermatlamat menjaga rantaian bekalan dan jenama daripada perlakuan jenayah, laporan itu adalah susulan daripada Kaji Selidik Strategi Dadah Isi Rumah Kebangsaan 2019 kelolaan Institut Kesihatan dan Kesejahteraan Australia yang diterbitkan pada 16 Julai 2020.

Gambar kecil:Health Michael
Gambar kecil:Health Michael

Michael berkata, kaji selidik itu turut mendapati kelompok perokok menghisap rokok haram telah meningkat sebanyak 37 peratus sejak tahun 2012.

Katanya, laporan terbaharu daripada KPMG, Rokok Haram di Australia 2020 turut mendapati rokok haram kini mewakili kira-kira 20.7 peratus daripada keseluruhan rokok yang dihisap, satu peningkatan besar berbanding 14.1 peratus pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu juga katanya, mendedahkan bahawa penghantaran barang menggunakan kapal kekal menjadi kebimbangan serius terhadap pergerakan rokok haram menerusi Malaysia, baik domestik atau serantau, disebabkan bilangan besar pintu masuk diguna untuk mengangkut produk haram dari dan kepada negara-negara jiran seperti Vietnam, Indonesia, dan Filipina.

“Satu kes contoh, rokok-rokok buatan Malaysia bernilai lebih RM60,000 (PHP700,000) ditinggalkan di kawasan tersorok di Barangay Curahab di Malabang, Lanao del Sur, Filipina minggu lepas. Laporan berita mendakwa penyeludup 30 kotak rokok seludup itu melarikan diri apabila anggota keselamatan cuba memeriksa penghantaran berkenaan,” kata Michael.

Katanya, apa yang dibimbangi ialah kegiatan pasaran rokok gelap di peringkat serantau boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara jiran.

Michael turut menyarankan agar kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas pelbagai agensi daripada pelbagai negara untuk mengumpul dan berkongsi risikan selain mengguna pakai teknologi pemantauan dan peninjauan yang boleh menambah kecekapan tetapi mampu menurunkan kos operasi.

“Mengenakan undang-undang yang memberi hukuman lebih berat kepada pelaku pasaran gelap dan melaksanakannya secara teliti juga boleh membantu.

“Sama penting juga, negara-negara yang ada eksais duti rokok yang sangat tinggi seperti Malaysia dan Australia wajar mempertimbangkan reformasi terhadap eksais bagi menangani aspek permintaan di dalam pasaran gelap rokok,’’ kata Michael.