Liga-M 'boleh jalan' ikut jadual

Laporan Sinar Harian Online semalam. (Mohd Sadek Mustafa)
Laporan Sinar Harian Online semalam. (Mohd Sadek Mustafa)
A
A
A

Baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula 26 Ogos depan masih boleh diteruskan di sebalik polemik peningkatan kes pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu lebih proaktif meyakinkan pihak kerajaan supaya membenarkan penganjuran semula aksi Liga-M seperti dirancang.

“Jika kita tengok beberapa negara Eropah seperti England, Jerman, Sepanyol dan Itali pun masih berperang dengan peningkatan kes Covid-19, namun pada masa sama, usaha memutuskan rantaian pandemik itu dilakukan secara konsisten.

“Dalam kes Liga-M yang sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan, setiap pemegang taruh dan komuniti bola sepak Liga-M haruslah mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika mereka gagal mematuhi SOP tersebut, bermakna merekalah yang mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Harus diingat bahawa Liga-M sama seperti penganjuran liga luar negara diadakan tanpa penonton dan SOP ketat. “Sebagai rujukan, saingan EPL terus disambung walaupun pandemik Covid-19 masih melanda England tetapi komuniti bola sepak EPL sangat berdisiplin dalam memastikan tiada seorang pun dalam kalangan ahli komuniti dijangkiti pandemik itu.

“Jadi dalam situasi Malaysia, tahap disiplin dan kesedaran tinggi secara berterusan perlu ditingkatkan dalam kalangan ahli komuniti sama seperti di Jerman, Itali dan Sepanyol,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penganjuran Liga-M ekoran peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek memberitahu, situasi di Malaysia sedikit berbeza daripada negara luar kerana pihak kerajaan sering mendapat nasihat daripada kalangan profesional KKM sebagai penanda aras memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Jadi FAM khususnya MFL perlu memberi jaminan bahawa segala urusan pertandingan Liga-M adalah mengikut SOP ketat melibatkan aspek kawal selia pemain, pegawai dan staf stadium. Mereka perlu disaring seminggu sebelum liga dimulakan semula.

“Kedua-dua badan itu perlu menunjukkan bukti bahawa mereka mampu memastikan semua yang terlibat dengan perjalanan Liga-M dapat mematuhi SOP.

“Apa yang boleh saya katakan, bagi memastikan Liga-M berjalan lancar dalam situasi semasa Covid-19 sekarang, semuanya bergantung kepada sejauh mana FAM khasnya MFL berjaya meyakinkan pihak MKN serta KKM,” jelasnya.