Dewan Rakyat bukan gelanggang ahli Parlimen nak tunjuk hero

No Image Caption
A
A
A

Merak Jalanan cukup setuju dengan amaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada kesemua ahli Parlimen kelmarin. Tegasnya, jangan ada lagi perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis.

Sebagai ahli yang berhormat dan menjadi wakil rakyat, kesemua 222 ahli Palimen menjadi contoh dan teladan yang baik. Mereka sepatutnya menjaga adab sopan dan tatasusila ketika bersidang di Dewan Rakyat.

Tetapi malangnya masih ada ahli-ahli yang berhormat bersikap seperti kebudak-budakan. Ikutkan faktor usia, sikap sebegitu tidak patut berlaku. Naik malu kita tengok sikap segelintir ahli Parlimen yang bermulut celupar.

Dewan Rakyat bukan pentas ahli-ahli yang berhormat sesuka hati mengeluarkan kata-kata kesat. Berhujahlah secara profesional tak kira anda di pihak kerajaan mahupun di blok pembangkang.

Elakkan berhujah secara emosi, kelak ia memakan diri sendiri. Seperkara lagi, tidak perlu membangkitkan kata-kata berunsur provokasi atau mengguris hati. Awas rakyat sedang memerhati gerak-geri ahli-ahli yang berhormat.

Kepada mereka yang boleh dianggap otai dan orang berpengalaman, jangan pula nak tunjuk hero. Tunjuklah sikap terpuji kepada yang lebih junior.

Tak susah pun Merak Jalanan dan sesiapa saja nak lihat gelagat ahli-ahli yang berhormat. Sekarang apa yang berlaku di Dewan Rakyat semuanya boleh ditonton secara langsung.

Sering kita dengar dari mulut ahli-ahli yang berhormat sendiri, Dewan Rakyat adalah dewan yang mulia. Jadi buktikan kepada rakyat yang memilih ahli-ahli yang berhormat bahawa kesucian Dewan Rakyat sentiasa dipelihara.

Artikel Berkaitan:

Jangan pula lupa atau buat-buat lupa, keberadaan ahli-ahli yang berhormat di Dewan Rakyat bukan sekadar membuat ‘bising’. Harus diingat, anda semua sepatutnya membawa ‘denyut nadi’ jutaan rakyat Malaysia ke Dewan Rakyat.