X

Kindly register in order to view this article
!

Nama Palestin tiada dalam peta Google, Apple cetus teori konspirasi

Gaza merupakan wilayah Palestin yang kerap menjadi sasaran serangan tentera Israel. - Foto AFP
A
A

DUA buah syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) dikritik kerana didakwa menyebelahi Israel baru-baru ini.

Kritikan itu dibuat kerana syarikat Apple dan Google secara terang-terangan tidak memasukkan nama Palestin dalam peta online masing-masing.

Ketiadaan nama itu pada peta dunia pada mulanya dibangkitkan melaui satu hantaran di laman sosial Instagram baru-baru ini.

Hantaran itu dibuat oleh seorang pemilik akaun laman tersebut, Astagfirollah yang membuat dakwaan bahawa nama Palestin 'diubah secara rasmi' daripada peta Google dan Apple pada minggu lalu.

Akaun Instagram Astagfirollah yang menunjukkan ketiadaan nama Palestin pada peta Google dan Apple. - Foto Instagram
Akaun Instagram Astagfirollah yang menunjukkan ketiadaan nama Palestin pada peta Google dan Apple. - Foto Instagram

Seterusnya ia merebak menjadi satu 'perdebatan' hangat dalam penulisan artikel berita menerusi media sosial.

Perbahasan tersebut kemudian menjadi 'panas' apabila Menteri Hal Ehwal Luar Negara dan Imigran Palestin, Riyad Al Maliki berkata, beliau telah menghantar maklum balas kepada dua syarikat tersebut berhubung isu berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa menyahsenaraikan nama Palestin dalam peta itu adalah melanggar undang-undang antarabangsa sekali gus merupakan satu tekanan dan ugutan daripada pihak Israel.

Menteri Telekomunikasi dan Maklumat Palestin, Issac Sidir pula menegaskan pihaknya kemungkinan mencari enjin carian baru dari Rusia atau China berikutan tindakan Google dan Apple itu.

Sidir juga menegaskan kedua-dua syarikat berkenaan juga condong secara membuta tuli terhadap pendudukan Israel.

Ini adalah kerana tindakan Google dan Apple itu juga tidak selaras dengan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Palestin sebelum ini sudah diiktiraf oleh PBB dan 136 anggota badan dunia itu menjadi sebuah negara.

Bagaimanapun, AS yang menempatkan ibu pejabat syarikat Google dan Apple seperti yang diketahui masyarakat antarabangsa tidak berbuat demikian.

Sementara itu, portal berita Republicworld.com pada 16 Julai lalu melaporkan ketiadaan maklum balas daripada Google dan Apple berhubung isu tersebut mencetuskan kekeliruan daripada pengguna media sosial.

Gambar fail menunjuklan penempatan haram Yahudi pada 1 Julai 2020. - Foto AFP
Gambar fail menunjuklan penempatan haram Yahudi pada 1 Julai 2020. - Foto AFP

Ketiadaan kenyataan rasmi itu menyebabkan netizen membuat teori konspirasi dengan menyatakan ia mempunyai kaitan dengan rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menambahkan lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Pada bulan lalu, Netanyahu berikrar untuk menambahkan penempatan itu menyebabkan lebih 1,000 ahli parlimen di seluruh Eropah menandatangani surat membantah tindakan tersebut.

Negara-negara Arab dan Eropah pula termasuk Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, sebarang penambahan penempatan haram merupakan faktor utama menyahstabilkan rantau tersebut dan mendesak Israel mengikut bantahan tersebut.

Google bagaimanapun dilaporkan menyatakan dalam laman webnya: "Sempadan yang dipertikaikan ditandakan sebagai garis kelabu. Tempat itu tidak bersetuju dengan garis sempadan."

Walau apa pun penerangan diberikan, ketiadaan nama itu seolah-olah menunjukkan Palestin tidak wujud di muka bumi ini.

Israel sebenarnya menduduki Tebing Barat, Genting Gaza dan Bukit Golan semasa Perang 1967.

Rejim Zionis itu kemudian tidak lagi menduduki Gaza selepas ia menghapuskan koloninya pada tahun 2005.

Namun, ia bukan kali pertama Google didakwa mengubah nama Palestin daripada perkhidmatan petanya.

Pada tahun 2016, wujud satu petisyen yang mendakwa kerajaan Israel berkeras mahu nama Palestin ditiadakan.

Ia juga membuat dakwaan dua pengasas Google mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan para pemimpinnya.

Bagaimanapun, petisyen Google: Put Palestine on your Maps! itu kekal aktif dan mempunyai lebih 800,009 tandatangan bagi menyokong penggunaan nama Palestin pada kedua-dua peta berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!