Dua suspek langgar polis, lari sekatan jalan raya ditahan

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON – Polis menahan dua suspek dipercayai melanggar anggota polis dan cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kilometer 3 Jalan Pantai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua suspek lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Iswara dari arah Teluk Kemang menghala Port Dickson bertindak membuat pusingan U ketika menghampiri sekatan jalan raya kira-kira jam 10.30 pagi.

“Kereta itu terus dipandu laju dan kemudian seorang lagi anggota kita bertindak mengejar kereta suspek dengan motosikal peronda sejauh 1km dari lokasi sekatan jalan raya sehingga kereta itu terbabas dan kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun, penumpang kereta itu yang berusia 42 tahun berjaya ditahan. Tetapi awal pagi tadi, pemandu kereta itu, 39, berasal dari Selangor menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, berdasarkan siasatan awal kereta berkenaan dilaporkan hilang pada Isnin lalu di Seremban dan semakan rekod juga mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah.

“Penumpang kereta itu memiliki empat rekod kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Manakala pemandu kereta itu memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana percubaan membunuh. Kedua-kedua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Januari ini,” katanya.

Dalam pada itu, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin seberat 15.01 gram dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan Narkotik IPD Port Dickson di Perumahan Rakyat Jalan Pantai Baru 8, Teluk Kemang jam 3.30 pagi, Isnin lepas.

Artikel Berkaitan:

“Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 29 hingga 34 tahun yang positif dadah jenis morfin itu sedang berada di ruang tamu, selepas memperkenalkan diri sebagai polis dan menahan suspek berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sebuah beg silang berwarna coklat/putih pada suspek berusia 34 tahun yang di dalamnya mengandungi enam peket plastik lutsinar dan tiga batang straw minuman berisi 15.01 gram dadah jenis heroin dianggarkan berharga RM500. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha Sports 110SD,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati ketiga-ketiga suspek memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). - Bernama