ADUN Serom nafi lompat parti, hanya lepas jawatan dalam Amanah

Faizul Amri Adnan - Foto sumber internet
Faizul Amri Adnan - Foto sumber internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Dr Faizul Amri Adnan menafikan beliau keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sebaliknya hanya meletak jawatan yang disandang dalam parti itu.

“Tidak ada (lompat parti). Saya kekal bersama Amanah dan Pakatan Harapan (PH). Alasan (peletakan jawatan) adalah seperti mana ditulis dalam surat peletakan jawatan iaitu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan konflik dalam parti setiap peringkat.

"Kenyataan lanjut mengenai keputusan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya di sini hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan Faizul Amri melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Ahli Jawatankuasa Amanah Johor kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu di peringkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi memaklumkan keputusan dibuat Faizul Amri telah diketahui pucuk pimpinan parti yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan hal tersebut.

"Kita (Amanah) yakin dapat selesai hal ini kerana ia melibatkan isu dalaman sahaja. Beliau (Faizul Amri) hanya letak jawatan dalam parti tidak ada kena mengena dengan keluar parti," katanya.

Menerusi kenyataan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan hari ini, jawatankuasa pimpinan Amanah Johor akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan berkenaan.

“Untuk rekod, surat peletakan jawatan tersebut diterima oleh Pengerusi dan Setiausaha Amanah Negeri Johor melalui aplikasi WhatsApp pada 8 pagi semalam,” katanya.

Artikel Berkaitan: