DUN Melaka lulus wujud satu darjah, dua pingat negeri

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul mewujudkan Darjah Seri Paduka Setia Melaka (SPSM), Pingat Jasa Cemerlang (PJC) dan Pingat Peringatan bersempena pelantikan Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh.

Usul itu dibawa oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) dan disokong Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (BN-Asahan).

Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usul itu diluluskan dengan undian terbanyak 17 undi berbanding keseluruhan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sulaiman ketika mencadangkan usul itu berkata SPSM hanya dianugerahkan kepada individu yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka atau setaraf atau lebih tinggi, manakala PJC dianugerahkan kepada individu layak dalam perkhidmatan awam atau individu berjasa memberikan sumbangan bakti yang cemerlang kepada negeri ini.

"Khususnya (penganugerahan PJC) kepada individu ketika berdepan dengan musibah atau bencana alam yang besar, menyelamatkan nyawa atau pandemik yang sedang mengancam seluruh dunia seperti koronavirus (Covid-19)," katanya.

Beliau berkata, Pingat Peringatan pula diwujudkan sebagai memperingati pelantikan Tun Mohd Ali Rustam yang merupakan anak jati pertama negeri itu dilantik Yang Dipertua Negeri Melaka pada 5 Jun lepas dan akan dianugerahkan secara langsung kepada individu yang terlibat pada majlis bersejarah tersebut.

Persidangan bersambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: