Polis gempur aktiviti perjudian, pelacuran di ibu kota

MAZLAN
MAZLAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan terus mempergiatkan operasi di ibu kota bagi membanteras kegiatan perjudian haram dan pelacuran.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini polis sudah melakukan operasi secara konsisten.

"Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur telah menahan 369 orang dalam Ops Dadu bagi membanteras kegiatan judi secara dalam talian sepanjang tempoh 1 Januari hingga Ahad lalu.

"Kita juga telah menjalankan sebanyak 4,748 pemeriksaan premis dan sebanyak 92 serbuan berjaya dilakukan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mazlan berkata, seramai 384 orang telah ditahan ketika Ops Dadu dilaksanakan dalam tempoh yang sama.

Dalam perkembangan berlainan, Mazlan berkata, seramai 1,863 orang ditahan dalam Ops Noda bagi membanteras aktiviti pelacuran dalam tempoh yang sama.

"Sebanyak 1,482 pemeriksaan premis telah dijalankan dan 581 serbuan dilakukan. Seramai 588 warga tempatan dan 1,275 warga asing yang berusia 16 hingga 60 tahun ditahan dalam Ops Noda," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 74 orang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, polis turut mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen atau melanggar syarat pusat hiburan.

"Sebanyak 99 buah pusat hiburan telah dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.