Ramkarpal perbetul tahun rakaman audio dimainkan

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memperbetulkan tahun ketika mendiang bapanya, Karpal Sigh memainkan rakaman audio didakwa berkait tuduhan rasuah bekas Ketua Hakim Negara di Dewan Rakyat.

Ramkarpal berkata, rakaman audio tersebut dimainkan Karpal yang juga bekas Ahli Parlimen Gelugor adalah pada tahun 2009 bukan tahun 2007 seperti yang beliau sebut dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, beliau telah memberi notis kepada Dewan Rakyat bahawa tidak pasti tarikh yang tepat mengenai perkara tersebut.

“Apabila saya menggunakan ungkapan 'jika saya tidak salah', itu bermakna saya memberi notis kepada Dewan bahawa saya mungkin salah mengenai tarikh berkenaan.

"Ya, dalam ucapan saya, saya katakan pada tahun 2007 tetapi sebenarnya pada tahun 2009.

"Tetapi kenyataannya peristiwa itu terjadi. Tidak ada keraguan tentang hal itu,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan daripada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menuntut Ramkarpal menunjukkan bukti mengenai perkara terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN - 'Ramkarpal perlu buktikan dakwaan'

Pada sidang akhbar itu, Ramkarpal mengemukakan hansard Parlimen kepada media bagi menunjukkan Karpal memainkan rakaman audio tersebut di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, ucapan Karpal boleh dilihat dan dimuat turun daripada laman Youtube dengan video bertajuk 'Singh is KING.....KING is Singh2' pada minit ke 3:50.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Ramkarpal menafikan dakwaan Takiyuddin bahawa kenyataannya mengelirukan Dewan Rakyat.

"Saya dengan tegas menafikan dakwaan mengelirukan Dewan dan menyatakan memang ada duluan di mana bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor telah mainkan satu rakaman audio dalam Dewan pada 25 Februari 2009,” katanya.

Terdahulu Takiyuddin hari ini memaklumkan semakan terhadap rekod Parlimen menunjukkan tiada duluan seperti didakwa itu pernah berlaku di Dewan Rakyat pada 2007.

Justeru kata Takiyuddin, jika gagal membuktikannya, Ramkarpal boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.