Dipukul, diikat gara-gara dituduh curi kelapa

Mangsa cedera di kepala, tangan dan beberapa bahagian badan turut ditahan untuk membantu siasatan.
Mangsa cedera di kepala, tangan dan beberapa bahagian badan turut ditahan untuk membantu siasatan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditemui terikat pada motosikal dalam keadaan berlumuran darah di Lorong 3, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini awal pagi tadi.

Mangsa dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana didakwa mencuri buah kelapa milik salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan pada kepala, kedua-dua belah kaki dan beberapa bahagian badan.

Menurutnya, ketika polis tiba di lokasi kejadian, sekumpulan lelaki yang dipercayai memukul mangsa telah melarikan diri.

"Bagaimanapun polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan pergaduhan tersebut.

"Salah seorang daripada lelaki itu turut cedera di tangan kanan dan lebam di bahu kanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Barang yang dirampas di lokasi kejadian dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.
Barang yang dirampas di lokasi kejadian dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui sebatang kayu, tiga batang mop dan segulung tali.

Artikel Berkaitan:

Menurut Noorzainy, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya iaitu di pasar pagi yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

"Ketika dalam perjalanan, motosikal mangsa telah kehabisan petrol dan telah menghubungi rakannya untuk pertolongan.

"Ketika kedua-duanya tiba di simpang berhampiran sebuah kilang milik salah seorang suspek, mereka ditahan sekumpulan lelaki.

"Mangsa dipukul manakala rakannya berjaya melarikan diri untuk meminta bantuan daripada keluarga mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menyatakan tidak mengetahui punca dirinya dipukul.

Katanya, hasil keterangan daripada dua suspek yang ditahan mendakwa mangsa sebelum ini kerap masuk ke kawasan itu dan mencuri buah kelapa milik mereka.

"Mereka mendakwa memukul mangsa terlebih dahulu kerana geram dengan perbuatannya sebelum menyerahkan mangsa kepada polis.

"Mangsa dan dua suspek tersebut ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mencederakan dengan senjata," katanya.