Sesi padanan perniagaan mampu jana potensi jualan RM50 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan menerusi SME Corp. Malaysia menyasarkan sesi padanan perniagaan di Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019) selama tiga hari bermula esok, mampu menjana potensi jualan bernilai RM50 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, sesi terbabit juga bertujuan menyediakan akses pasaran berkelas dunia serta platform jaringan untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakan global mereka.

Malah, ia turut menjadi lokasi terbaik untuk PKS menjalin hubungan perniagaan dengan syarikat besar dan multinasional (MNC) Jepun yang turut menyertai acara tersebut.

Ini berikutan sesi padanan perniagaan MHE2019 itu yang akan memberi tumpuan terhadap pasaran di Jepun dalam usaha mempromosi produk dan perkhidmatan halal bersempena penganjuran acara sukan berprestij, Olimpik Tokyo 2020 dan disusuli temasya Paralimpik.

Kelompok peserta itu merangkumi pasar raya besar dan syarikat utama pelbagai sektor termasuk pemprosesan makanan, makanan dan minuman, farmaseutikal, jentera dan kejuruteraan serta perkhidmatan.

Menurut kementerian, sebanyak 21 pembeli utama yang berpotensi termasuk 15 syarikat peneraju Jepun dan enam syarikat tempatan dijangka menyertai sesi padanan perniagaan tersebut.

Antara syarikat Jepun tersebut adalah Family Mart, MHC Co. Ltd, Yatsumoto Tsusho Co, Ltd, Sohgo Kikaku Co, Ltd, Asia Trading & Services Co Ltd serta Hayabusa International.

Syarikat peneraju Malaysia pula adalah Tesco Stores Malaysia, Ramly Food Marketing Sdn Bhd, Lulu Group Retails Sdn Bhd, Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, Aeon Big Malaysia dan Desatera Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Ekspo Halal Malaysia 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre di ibu negara, turut dibuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. - Bernama