X

Kindly register in order to view this article
!

Mahfuz minta kerajaan lanjut Program Subsidi Upah

Mahfuz Omar
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan kerajaan melanjutkan Program Subsidi Upah selama enam bulan lagi untuk membolehkan majikan mengekalkan pekerjaan kepada pekerja mereka semasa krisis koronavirus (Covid-19) sekarang.

Mahfuz (PH-Pokok Sena) berkata, ia kerana dibimbangi apabila berakhir Program Subsidi Upah itu berakhir September nanti kemungkinan lebih ramai diberhentikan kerja.

Menurutnya, ia kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu sehingga akhir bulan lalu seramai 48,727 telah diberhentikan kerja di negara ini.

"Semasa saya berada di Kementerian Sumber Manusia, angka 48,000 ini pemberhentian pekerja ini adalah angka untuk setahun di mana banyak syarikat menstruktur semula syarikat mereka untuk mengurangkan kos dan sebagainya.

"Tapi sekarang hanya dalam setengah tahun ia sudah 48,000 dalam keadaan kerajaan beri subsidi upah untuk program pengekalan pekerjaan," katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau gusar jika jumlah pemberhentian pekerja itu meningkat kerana banyak syarikat atau majikan tidak berkemampuan untuk membayar gaji pekerja apabila program subsidi upah berakhir.

Menurutnya, unjuran yang dibuat pelbagai pihak seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan bahawa 1.5 juta pekerja akan hilang pekerjaan pada hujung tahun ini kesan krisis Covid-19.

"Jika berlaku gelombang kedua Covid-19 ini ia menggerunkan kerana berdasarkan unjuran dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia, diunjurkan hingga 2.7 juta pekerja di Malaysia berisiko hilang pekerjaan.

"Ini cukup membimbangkan kita semua kerana sudah tentu memberi kesan yang lebih buruk kepada kehidupan lebih ramai orang," katanya.

Justeru itu, beliau juga mencadangkan kerajaan untuk menawarkan insentif kepada majikan atau syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang diberhentikan kerja.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!