Tren ECRL dijangka beroperasi Januari 2027

ECRL dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027 dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah itu serta negara bagi tempoh beberapa dekad akan datang.
ECRL dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027 dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah itu serta negara bagi tempoh beberapa dekad akan datang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027 dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah itu serta negara bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, projek ECRL yang dijadualkan siap pada akhir 2026 akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.

"Projek ini juga dijangka mampu merancakkan perdagangan di antara Malaysia dan China.

"Adalah diharapkan projek ini yang turut membabitkan negara itu dapat membolehkan eksport komoditi negara, khususnya minyak, gas, kelapa sawit, getah dan produk pengilangan menembusi pasaran China secara lebih meluas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini selepas mendengar taklimat berkaitan projek infrastruktur mega tersebut.

Abdul Rahim berkata, apa yang menarik adalah ECRL berdasarkan landasan tolok piawaian berbanding rel berkembar sedia ada yang menggunakan tolok tiga meter.

"Projek ECRL menggunakan saiz landasan tolok piawaian yang membolehkan pemasangan gerabak kereta api dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam.

"Tolok sedemikian boleh menggunakan tren laju sehingga melebihi 300km sejam mengikut keperluan operator perkhidmatan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jarak landasan ECRL 2.0 sejauh 640km itu telah dipendekkan berbanding laluan asal 688km dengan jumlah stesen kereta api dikurangkan kepada 20 berbanding 26 sebelum ini.

"Pengurangan jarak 48 kilometer itu juga dijangka dapat membantu mengurangkan kos sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion berbanding kos asal yang mencecah RM65.5 bilion, " kata beliau.- Bernama