Kes 1MDB: Bekas pengarah urusan PIC dakwa jadi kambing hitam

Khadem
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment Company (IPIC), Khadem al-Qubaisi yang didakwa menjadi watak penting dalam menyalurkan dana 1MDB, mendakwa tidak adil jika beliau dipersalahkan dalam skandal itu.

Memetik laporan MalaysiaKini, menerusi wawancara telefon pertama beliau dengan Wall Street Journal (WSJ) di penjara Abu Dhabi, Khadem berkata, arahan supaya IPIC menjadi rakan perniagaan utama dengan 1MDB dibuat dengan pengetahuan penuh pegawai Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang lebih senior.

Menurutnya, beliau kini dijadikan kambing hitam berikutan kehilangan berbilion dolar dari syarikat pelaburan Malaysia itu.

"Saya melakukan perjanjian ini tetapi saya melakukannya bagi pihak kerajaan Abu Dhabi. Sekarang, mereka meletakkan segala-galanya di bahu saya," katanya.

Beliau juga mendakwa walaupun belum disiasat oleh mana-mana badan penguatkuasaan undang-undang mengenai 1MDB, pegawai UAE telah datang ke penjara Al Wathba di Abu Dhabi di mana dia ditahan untuk menekannya menandatangani penyerahan aset.

"Sekiranya saya melakukan sesuatu yang salah bagi perjanjian Malaysia ini, mereka boleh pergi ambil aset saya, tidak ada masalah. Mengapa sebuah syarikat swasta cuba mengawal aset saya?" soalnya.

Khadem yang juga bekas pengerusi anak syarikat IPIC, Aabar Investment, didakwa menerima AS$1.4 bilion dari 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada IPIC menerusi akaun syarikat luar pesisirnya.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam saman sivilnya.

Dana yang diambil itu kemudiannya dibahagikan antara Qubaisi, ahli perniagaan kontroversi, Jho Low dan lain-lain.

Beliau sebelum ini mengetuai Aabar pada tahun 2015 dan dipenjara di Abu Dhabi setahun kemudian tanpa sebarang pertuduhan. Dia didakwa selepas kerajaan Switzerland melakukan siasatan ke atas 1MDB.

Mengulas lanjut, Khadem turut mendakwa dua anak saudaranya yang mempunyai kuasa terhadap beberapa asetnya telah ditahan sehingga mereka menandatangani penyerahan kereta mewah bernilai lebih AS $40 juta kepada Das Holding.

WSJ melaporkan peguam yang terlibat dalam kes Khadem yang menyatakan individu teraebut menyalahgunakan dan melampaui kuasanya di IPIC untuk mendapatkan keuntungan peribadi

"Sekarang dia lebih bimbang untuk menjaga kekayaan haramnya daripada melakukan perkara yang betul dengan mengaku bersalah dan mengembalikan hasil yang diperolehnya daripada kegiatan jenayahnya," katanya.

Peguam itu juga menolak keterangan Khadem mengenai keadaan penjara dan layanan buruk yang dikatakan sebagai tidak tepat.

Menurut saman DOJ, Qubaisi menggunakan dana bernilai AS$ 471 juta yang dicuri ke akaun peribadinya di Luxembourg untuk membeli hartanah di Amerika Syarikat.

WSJ melaporkan dokumen menunjukkan bahawa pihak berkuasa, bagaimanapun tidak menyasarkan aset yang lebih besar dibiayai dengan wang 1MDB iaitu sebuah kapal layar sepanjang 482 kaki bernilai setengah bilion dolar yang disebut sebagai Topaz.

Qubaisi didakwa menyalurkan kira-kira AS$ 132 juta yang berasal dari 1MDB untuk pembayaran hutang kapal layar itu antara 2012 dan 2015.

Dokumen juga menunjukkan bahawa baki pinjaman ke atas kapal setinggi lapan tingkat yang mempunyai kolam renang dan pawagam itu telah dibayar sepenuhnya pada bulan April tahun lepas oleh individu yang tidak dinamakan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia