X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dibentang akhir tahun ini

Rina Mohd Harun
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual pada persidangan Dewan Rakyat hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, berdasarkan perancangan asal, RUU itu sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Mac lalu, namun mengambil kira perubahan struktur kerajaan terkini, cadangan penggubalan perlu dibentangkan semula untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri semasa.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang mahu tahu bilakah kerajaan akan meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah untuk melindungi mangsa hendap dan menggubal Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual.

Mengulas lanjut, Rina berkata, draf RUU itu kini pada peringkat akhir penyediaan dan pengemaskinian oleh KPWKM.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini menggesa KPWKM mengutamakan RUU itu kerana kebanyakan mangsa (wanita, lelaki dan kanak-kanak) kes yang berkaitan gangguan seksual tidak mempunyai saluran yang tepat untuk membuat aduan.

"RUU ini amat diperlukan memandangkan undang-undang sedia ada hanya mengawal selia jenayah gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja sedangkan akta sepatutnya merangkumi ruang awam agar bersifat lebih menyeluruh," katanya.

Dr Wan Azizah yang sebelum ini menerajui kementerian itu ketika pentadbiran Pakatan Harapan berkata, KPWKM sebelum ini menetapkan persidangan pada Mac lepas untuk memperkenalkan RUU tersebut yang telah siap merangkumi definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh dan mekanisme pengaduan dan penyelesaian yang lebih efektif, elemen remedi dan penalti serta mengesyorkan piawaian beban pembuktian yang bersesuaian dan adil buat semua pihak yang terbabit.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!