Agihan kerusi PN belum muktamad

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

MARANG - Agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih di peringkat permulaan dan belum dimuktamadkan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa siri perbincangan akan diadakan lagi sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Menurutnya, PN mempunyai kaedah dan formula sendiri dalam menentukan agihan kerusi dan pertemuan ketiga-tiga parti malam tadi di ibu negara dilihat positif.

"Belum gerak jauh lagi, kita baru masuk 'gear' satu. Adalah cara dan kaedah yang tidak boleh saya sebutkan di sini. Yang penting bila sudah selesai kita akan siap sedia hadapi PRU15 bila-bila masa.

"Semuanya berjalan dengan baik, nak naik tangga biar satu-satu. Lepas ini akan ada sesi perbincangan seterusnya," katanya selepas menyampaikan Suratan Hakmilik Tanah dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan, Gong Cempedak di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuan Pas, UMNO dan Bersatu bagi membincangkan agihan kerusi di ibu negara malam tadi.

Ditanya sama ada Pas akan mempertahankan enam kerusi Parlimen dimenangi parti itu di Terengganu, Dr Ahmad Samsuri yang merupakan Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu akan dilihat secara mendalam.

"Negeri ada banyak kerusi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri), kita akan tengok satu persatu. Masing-masing ada kerusi yang ingin ditandingi yang perlu kita bincang," katanya.

Artikel Berkaitan: