Dewan Rakyat panas, Tajuddin bidas Mukhriz

Tajuddin (kanan) membidas kenyataan Mukhriz ketika Ahli Parlimen Jerlun itu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Tajuddin (kanan) membidas kenyataan Mukhriz ketika Ahli Parlimen Jerlun itu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat hari ini panas seketika apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berang dan membidas Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Ia ekoran kenyataan Mukhriz yang menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap kleptokrasi yang didakwa berlaku di negara ini.

Ketegangan bermula ketika Mukhriz mempersoalkan tentang apa yang berlaku terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kes terbesar, kleptokrasi mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan pelantikan ahli Parlimen dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tajuddin meluahkan rasa sedih dengan sikap Mukhriz yang didakwa hanya membangkitkan cerita Najib dan 1MDB seolah-olah tiada isu lain untuk dibangkitkan.

"Balik-balik cerita Datuk (Seri) Najib, 1MDB dah tak ada modal lain. Rakyat dah tak boleh terima.

"Benda ni (kalau) nak cerita pasal Yang Berhormat pun banyak. Ahli keluarga Yang Berhormat pun bermacam-macam cerita," katanya semasa bangun mencelah ketika Mukhriz membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Kekecohan berlanjutan apabila Mukhriz mencabar Tajuddin untuk membuat aduan mengenai tuduhan itu kepada mahkamah.

Keadaan semakin panas apabila Mukhriz mengulangi kenyataan beliau bahawa kes kleptokrasi itu berlaku kerana pemimpin terlibat jelas pecah amanah dengan mencuri dana.

Artikel Berkaitan:

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Tajuddin kembali bersuara dengan mempersoalkan kenyataan Mukhriz.

"Mana tahu pecah amanah? Yang Berhormat menghakimi. Tidak boleh begini berterusan, ini politik tak matang," katanya.

Pertelingkahan itu berterusan kira-kira beberapa minit meskipun sepanjang ketegangan itu berlaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berulang kali mengarahkan Tajuddin agar duduk.