Olimpik Tokyo: Batal sahaja jika tiada penonton

No Image Caption
A
A
A
TOKYO - Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020 buat masa ini tidak mempertimbangkan untuk mengadakan acara tanpa penonton, tetapi andai kehadiran penonton tidak dibenarkan, pembatalan kejohanan itu mungkin satu-satunya pilihan, lapor agensi berita Sputnik.

Presidennya, Yoshiro Mori dalam wawancara dengan penyiar NHK pada Rabu berkata, tidak mungkin untuk mengurangkan jumlah penonton, jika hendak dilaksanakan juga ia hanya membabitkan kehadiran penonton dalam kalangan penduduk Jepun.

Pada akhir Mac, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bersama jawatankuasa penganjur mengumumkan acara itu ditunda ke 2021 disebabkan wabak Covid-19. Kejohanan dijadual dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Beliau berkata, pilihan untuk mengadakan acara itu tanpa kehadiran penonton belum dibincangkan buat masa ini.

"Sekiranya itu satu-satunya pilihan (dilangsungkan tanpa penonton), maka kita harus fikirkan. Dalam kes ini, persoalan membatalkan kejohanan itu mungkin timbul," tambah Mori.
Artikel Berkaitan:


Mengulas mengenai situasi wabak di Jepun dan di seluruh dunia, pegawai itu mengatakan penganjuran temasya itu tidak mungkin dapat dijalankan jika keadaan epidemiologi sama seperti sekarang, ia sangat bergantung pada perkembangan terkini rawatan serta vaksin Covid-19. - Bernama