Covid-19: Kes aktif di Selangor kembali meningkat

Infografik dikongsikan di Facebook STFC hari ini.
Infografik dikongsikan di Facebook STFC hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor yang sebelum ini merekod penurunan kes aktif koronavirus (Covid-19) dan semua daerahnya dilaporkan menghampiri zon hijau, kini kembali mencatat peningkatan kes.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi infografik dikongsikan di Facebook hari ini memaklumkan, kes aktif baharu dikesan di mukim Cheras semalam menyebabkan daerah Hulu Langat kini bertukar kepada zon kuning.

Sabtu lalu, kesemua lapan daerah di Selangor ditakrif sebagai zon hijau kecuali Sepang yang mempunyai 12 kes aktif termasuk di 19 di Labu dan dua di Dengkil.

STFC melaporkan, satu kes baharu dikesan di mukim Batu menyebabkan daerah Gombak pula berubah ke zon kuning pada Ahad lalu.

Semalam, satu lagi kes baharu direkodkan di daerah Hulu Langat menyebabkan tiga daerah kini ditakrif sebagai zon kuning wabak terbabit.

Kini hanya daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Petaling masih direkod sebagai zon hijau.

“STFC memandang serius laporan memaparkan tahap ketidakpatuhan yang mencemaskan dalam kalangan masyarakat.

“Warga Selangor seharusnya sentiasa peka dan berdisiplin mematuhi norma baharu kerana negeri ini pernah mencatatkan kes jangkitan tertinggi di dalam Malaysia satu masa dahulu,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, setakat jam 12 tengah hari semalam, Selangor mencatat dua kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,109 kes.

Seramai 2,008 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala 77 masih dirawat di hospital.

Selangor masih kekal merekodkan 24 kes kematian akibat dijangkiti wabak terbabit.