ADUN Elopura lapor polis dakwa diganggu 'ejen' keluar parti

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong hari ini membuat laporan polis selepas menerima beberapa panggilan telefon serta pesanan menerusi aplikasi WhatsApp yang menurutnya amat ‘menganggu’.

Katanya, beliau menerima banyak pesanan menerusi WhatsApp sejak 19 Julai lalu dan panggilan telefon sejak 20 Julai daripada individu yang mendakwa sebagai ‘ejen’, memujuk beliau meninggalkan parti DAP yang dianggotainya sejak tahun 2009.

Hari ini merupakan kemuncak kemarahannya apabila beliau menerima satu panggilan telefon pada pukul 5.50 pagi, dan amat terperanjat apabila ada individu yang datang ke rumahnya kira-kira satu setengah jam kemudian bagi tujuan sama.

"Saya amat terganggu dengan cubaan sebegitu, telefon saya menerusi nombor peribadi pada masa yang tidak sesuai dan datang ke rumah pada masa anak saya sedang sakit. Ini tidak boleh jadi, kerana bukan sahaja ia menganggu ketenteraman saya, tapi juga keluarga saya,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan di sini.

Calvin berkata, beliau sudah bosan dengan pelbagai cubaan menawarkan pelbagai janji, termasuk wang tunai dalam usaha mempengaruhi beliau supaya meninggalkan DAP. - Bernama

Artikel Berkaitan: