Pahlawan Merah perkasa aspek kecergasan

Skuad TRW akan kembali meneruskan misi mereka dalam saingan Liga Premier musim ini.
Skuad TRW akan kembali meneruskan misi mereka dalam saingan Liga Premier musim ini.
A
A
A

ASPEK kecergasan pemain menjadi fokus utama pengendali Kelantan, Yusri Che Lah selepas skuad The Reds Warriors (TRW) akhirnya dibenarkan kembali menjalani sesi latihan mulai hari ini.

Yusri berkata, beliau bimbang terhadap kecergasan anak-anak buahnya selepas mereka hanya menjalani latihan ringan di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 serta tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Setelah melalui empat bulan tanpa sebarang aktiviti latihan di tengah padang, saya kini akan memberi tumpuan terhadap kecergasan para pemain. Apatah lagi, kami bakal mengharungi lapan perlawanan selepas ini dan diharapkan semua pemain bersedia.

“Bagaimanapun, setakat ini saya rasa mereka telah pun memahami formasi yang akan saya gunakan. Cuma ketika ini apa yang paling penting adalah aspek kecergasan mereka.

“Dalam keterbatasan masa yang ada sekarang, diharapkan kesemua pemain dapat menghadiri sesi latihan pasukan mulai esok (hari ini) dan berusaha untuk meningkatkan kecergasan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Berbanding pasukan lain, Kelantan bakal mengharungi lapan perlawanan berikutan aksi menentang UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 6 Mac lalu ditangguhkan akibat ribut petir.

Mengikut jadual baharu yang dikeluarkan MFL, Kelantan akan kembali membuat perhitungan dengan UKM FC pada 22 Ogos depan - empat hari sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) secara rasmi kembali bersambung.

Pada masa sama, Yusri memberitahu, TRW bakal mengharungi kesemua perlawanan berkenaan dengan hanya bersandarkan kepada 24 pemain setelah tiga pemain mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya jadual kali memang agak padat yang mana dalam sebulan kami mungkin kena harungi lapan perlawanan. Oleh itu semua pemain perlu bersedia kerana penggiliran mungkin akan dibuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman gembira setelah pihak MFL memberikan kebenaran kepada TRW untuk kembali memulakan sesi latihan.

“Terima kasih kepada MFL atas kelulusan yang diberikan ini. Pemain-pemain Kelantan juga dilihat begitu bersemangat untuk berlatih dan meneruskan aksi dalam saingan Liga Premier nanti,” ujarnya.