Sayangi Sawitku diubah kepada Sawit Anugerah Tuhan

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjenamakan semula kempen Sayangi Sawitku kepada nama baharu iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau mengambil pendekatan sedemikian dengan anggapan ia lebih baik.

“Berhubung dengan Kempen Sayangi Sawitku, saya telah bergerak untuk mengubah kempen itu kepada yang lebih baik, Insya- Allah namanya iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

“Ini pendekatan saya untuk sepanjang menjadi menteri,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada kempen 'Sayangi Sawitku' akan diteruskan di bawah kerajaan sekarang atau tidak.

Terdahulu, Datuk Jalaluddin Alia (BN-Jelebu) mengemukakan soalan mengenai negara yang menjadi pengimport terbesar minyak dan produk sawit negara pada 2019 serta langkah diambil kementerian untuk memperluaskan eksport minyak sawit negara..

Mohd Khairuddin berkata, statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan India merupakan pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara pada 2019 dengan kuantiti sebanyak 4.46 juta tan bernilai RM9.78 billion.

Menurutnya, antara langkah yang sedang diambil termasuk memperkukuhkan pasaran eksport utama sedia ada terutama India, China, Kesatuan Eropah (EU), Pakistan dan Amerika Syarikat serta mempromosikan secara agresif bagi menembusi pasaran baharu seperti di benua Afrika dan Asia Tengah.

Artikel Berkaitan:

“Meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan produk-produk baharu serta memberi nilai tambah kepada produk hiliran komoditi.

“Meningkatkan akses pasaran yang lebih baik melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dan perundingan pelbagai hala atau serantau

“Perlaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang buat masa ini telah diterima oleh Jepun bagi Sukan Olimpik 2020,” ujarnya.

Selain itu kata beliau, pengecualian duti eksport duti eksport minyak sawit mentah (CPO), minyak isirong sawit mentah (CPKO) dan minyak isirong sawit diproses (RBDPKo) sehingga 31 Disember 2020 sebagai satu strategi meningkatkan harga.