Polis akan guna dua jenis 'non lethal weapon'

Pistol perenjat yang digunakan polis di Amerika Syarikat. - Foto sumber internet
Pistol perenjat yang digunakan polis di Amerika Syarikat. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk menggunakan 'non lethal weapon' secara menyeluruh bagi pegawai dan anggota semasa melaksanakan tugas harian.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, senjata itu akan digunakan apabila berdepan dengan orang agresif atau mengamuk.

"Misalnya individu yang di bawah pengaruh dadah serta bersikap agresif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya telah mengenalpasti dua jenis 'electroshock gun non-lethal weapon' iaitu pistol perenjat elektrik dan 'net gun'.

"Perolehan ini telah dicadangkan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke 12, tahun depan.

"Kita menganggarkan 1,000 unit 'non lethal weapon' yang akan digunakan oleh pegawai dan anggota polis," katanya.

Rosli Ab Rahman - Foto Bernama
Rosli Ab Rahman - Foto Bernama

Dalam kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini, memaklumkan PDRM kini sedang mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berdepan dengan orang agresif atau mengamuk.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid berkata, pihaknya ingin menyelesaikan masalah tanpa meragut nyawa, misalnya orang yang di bawah pengaruh dadah akan bersikap agresif maka polis akan memakai taser gun sahaja untuk menyelesaikan kes mengamuk.

"Pistol perenjat elektrik ini mempunyai jangka hayat tertentu dan jangka hayat berkenaan bergantung kepada kualiti pistol perenjat elektrik.

“Jadi kalau boleh PDRM mahu seperti pistol perenjat elektrik yang diguna pakai oleh polis Amerika Syarikat yang tahan lasak," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rosli berkata, polis akan mendapat penambahan 425 kereta peronda model Honda Civic 1.8 dan Proton X70.

"Selain itu, kita akan mengganti 850 buah kereta peronda dengan dua jenis kenderaan, ia melibatkan kos sewaan dan penyelenggaraan bernilai RM55 juta setahun.

"Penggantian itu adalah untuk kereta yang tamat tempoh penyewaan dan akan digantikan dengan dua jenis kenderaan itu secara berperingkat sehingga akhir tahun ini," katanya.