Nazri cadang pilihan raya guna lambang parti, elak lompat parti

Nazri membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Nazri membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dipinda supaya pertandingan dalam pilihan raya dilakukan berdasarkan lambang parti bagi menghentikan budaya lompat parti.

Beliau berkata, sistem Westminster yang juga sebuah sistem Parlimen kerajaan demokratik dimodelkan mengikut acuan kerajaan British itu perlu dipinda dengan tidak menamakan individu sebagai calon parti, sebaliknya menampilkan lambang parti pada kerusi dipertandingkan.

"Kita pertandingkan lambang parti, ia akan banyak selesaikan masalah. Bukan setakat boleh halang daripada runtuhnya parti tapi boleh banteras rasuah," katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Nazri menjelaskan, menerusi pertandingan berasaskan lambang parti, sekiranya parti itu menang, mereka akan memperkenalkan calonnya untuk kerusi yang dipertandingkan.

"Saya buat contoh, misalnya di Padang Rengas, saya tidak bertanding atas individu. Saya bertanding atas nama parti saya. Bila Barisan Nasional (BN) menang di situ, parti akan tunjukkan ahli Parlimen mereka bagi Padang Rengas iaitu Nazri Aziz. Jadi senang begitu.

"Kalau Nazri Aziz kemudian dilantik dalam jemaah menteri dan saya mempunyai perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, saya kata saya tak boleh terima dan saya nak berhenti, saya berhenti seorang diri tak bawa kerusi Padang Rengas dengan saya. Jadi kerusi itu tetap milik BN.

"Bila saya keluar daripada BN, tak jadi menteri maka parti saya akan tunjuk orang lain pula jadi ahli Parlimen (di kawasan itu)," katanya.

Beliau berkata, peluang ahli Parlimen menerima rasuah untuk lompat parti dilihat terbuka luas dengan sistem yang diamalkan ketika ini terutama apabila sesebuah kerajaan itu jatuh.

Artikel Berkaitan:

"Apabila sesebuah kerajaan jatuh, mereka nak sokongan daripada sesetengah ahli Parlimen. Ini peluang terbaik untuk 'menuai hasil' sebab dia (ahli Parlimen) boleh jual kerusi dia.

"Tapi kalau bertanding atas lambang parti, ia tak boleh jual dan boleh membanteras rasuah," katanya.