Terengganu timbang tambah 'mini slipway'

Dr Azman (dua kiri) diberi penerangan tentang projek 'mini slipway' Marang.
Dr Azman (dua kiri) diberi penerangan tentang projek 'mini slipway' Marang.
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu sedang melihat keperluan untuk menambah 'mini slipway' iaitu tempat membaiki bot di beberapa daerah bagi mengatasi masalah kesukaran nelayan untuk membaik pulih bot.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, buat masa ini, nelayan terpaksa membaiki bot di 'slipway' swasta dan ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.

Melihatkan kesukaran itu, kerajaan memulakan projek rintis pembinaan 'mini slipway' di Marang, melibatkan kos kira-kira RM500,000 dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

"Tempat baiki bot ini menjadi satu keperluan yang sangat kritikal. Macam di Marang, nelayan terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk tujuan pembaikan.

"Saya melihat keperluan 'mini slipway' bagi setiap daerah kerana kita nak kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini.

"Beberapa daerah yang menjadi tumpuan nelayan kita seperti Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita (pembinaan mini slipway), khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar nelayannya menggunakan bot A, bot B, yang memerlukan khidmat setempat," katanya./p>

Azman
Azman

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di cold room atau bilik sejuk beku di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang dan projek 'mini slipway' di Bandar Marang, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Lawatan kerja itu turut disertai pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Marang, LKIM, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan beberapa jabatan berkaitan.

Mengulas mengenai 'mini slipway' di Marang, beliau berkata, ia hampir 90 peratus siap dan dalam proses untuk pemasangan 'winch' jentera untuk menarik bot.

"Ini merupakan satu-satunya 'mini slipway' di bawah kerajaan negeri dan satu-satunya yang ada di Marang. Kemampuan 'winch' ini dalam lingkungan 30 tan berat bot dan dikira memadai dengan target kita untuk membaiki bot kecil sebab kebanyakan nelayan Marang ialah nelayan sampan, bot fiber, bot kelas A dan bot B kecil.

"Mana-mana bot yang memerlukan pembaikan yang lebih rumit, boleh dihantar ke 'slipway' yang besar. Kita sasarkan pembinaan 'mini slipway' yang memerlukan tempoh pembaikan yang singkat," katanya.

Sementara itu, pembinaan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang yang dimulakan pada Oktober tahun lepas telah siap sepenuhnya, dengan kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa.

Jelasnya, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan, dalam masa sama menangani isu-isu nelayan yang timbul dari masa ke masa.