18,883 murid di Kuala Selangor kembali bersekolah

Mohd Azuan (lima dari kanan) semasa lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan di SK Sungai Burong di sini hari ini.
Mohd Azuan (lima dari kanan) semasa lawatan sempena pembukaan sesi persekolahan di SK Sungai Burong di sini hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seramai 18,883 murid Tahun Satu hingga Tahun Empat di daerah Kuala Selangor memulakan sesi pembelajaran hari ini selepas tertangguh lebih empat bulan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 4,716 murid Tahun Satu, murid Tahun Dua (4,883), murid Tahun Tiga (4,737) dan murid Tahun Empat (4,547).

Menurutnya, seramai 16,377 murid adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (1,327) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (1,179).

"Semua pengurusan sekolah sudah membuat persiapan rapi seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengambil bacaan suhu bagi setiap murid yang hadir dan melaksanakan penjarakan sosial satu meter.

"Selain itu, beberapa pematuhan SOP turut dilakukan antaranya menyediakan pelan laluan, peralatan mencuci tangan, menyediakan bilik isolasi, bahan-bahan bercetak berkaitan maklumat Covid-19 dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diamalkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan sempena pembukaan sesi persekolahan di SK Sungai Burong di sini hari ini.

Mohd Azuan berkata, beliau berpuas hati dengan tahap persediaan dilakukan pengurusan sekolah bagi memastikan kakitangan dan murid tidak dijangkiti penularan Covid-19.

Menurutnya, setiap sekolah juga mempunyai alat saringan suhu badan mencukupi berdasarkan nisbah bilangan murid dan alatan saringan.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah memberi peruntukan tambahan kepada sekolah dalam menyediakan peralatan tersebut.

"Pihak sekolah menyediakan alat pencuci tangan di kelas dan tempat membasuh tangan menggunakan air dan sabun di beberapa tempat atau lokasi sekitar sekolah," katanya.