Julang trofi EPL umpama sambutan Krismas: Klopp

Klopp
Klopp
A
A
A

LIVERPOOL akan secara rasminya ditabalkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas perlawanan menentang Chelsea di Anfield awal pagi esok.

Walaupun sudah mengetahui bakal menjulang trofi tersebut, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui perasaan menjulang trofi tersebut umpama meraikan perayaan Krismas.

"Ia seperti perayaan Krismas. Walaupun anda sudah tahu akan mendapat hadiah apa tetapi kegembiraanya akan tetap dirasai semasa anda menerimanya.

"Kami sangat teruja untuk menerima trofi tersebut. Saya tidak pernah menyentuh trofi EPL dan ia akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa," katanya.

Penyerahan dan upacara sambutan tersebut akan diadakan dalam stadium kosong tanpa kehadiran penonton akibat pandemik Covid-19 dan Klopp sekali lagi mengingatkan penyokong supaya tidak berhimpun di Anfield dan hanya meraikannya di rumah.

"Semua orang bekerja keras untuk mendapatkan trofi ini, jadi saya harap sambutan tersebut akan berjalan lancar di dalam stadium.

"Ia bakal menjadi salah satu hari terbaik dalam hidup saya untuk mendapatkan piala ini yang dinanti-nantikan oleh semua orang. Dua atau tiga tahun yang lalu tidak ada yang menyangka trofi ini akan menjadi milik kita," katanya.

Dalam pada itu, Klopp tidak mahu trofi tersebut menjadi trofi terakhir yang dimenangi Liverpool dan pemain tidak boleh terlalu bangga dan melihat kepada laluan lebih sukar musim depan.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan hari terbaik terakhir yang saya harapkan kepada Liverpool. Ini permulaan kepada perjalanan yang jauh lebih berliku. Kami perlu sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.