Zuraida mohon KPM bantu baik pulih SK Ampang Campuran

Zuraida ketika membuat tinjauan di persekitaran kawasan Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Zuraida ketika membuat tinjauan di persekitaran kawasan Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memohon kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membaik pulih bangunan Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran yang berusia lebih 20 tahun kerana mengalami kerosakan dan kebocoran yang teruk.

Zuraida berkata, pihak sekolah telah menyenaraikan beberapa bantuan yang diperlukan berikutan bangunan sekolah berkenaan merupakan model lama tiga tingkat yang perlu dibaiki dan dicat semula.

“Sekolah juga mengalami masalah pada tangki air mengakibatkan kebocoran teruk pada tandas tingkat satu hingga tiga. Ini adalah kerja besar yang memerlukan peruntukan daripada KPM sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan, dekat sini pagi tadi.

Zuraida berkata, sebagai Ahli Parlimen Ampang, pihaknya telah meluluskan peruntukan RM79,000 bagi membaik pulih kerosakan di sekolah tersebut termasuk membaiki paip air yang bocor.

Menurutnya daripada peruntukan itu, sebanyak RM24,000 bagi menambah enam tandas murid dan RM20,000 lagi bagi membina bengkel pendidikan khas serta tandas bagi murid prasekolah.

Mengenai masalah jalan di sekolah tersebut yang ditutup, Zuraida berkata, pihaknya telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka semula jalan berkenaan bagi menyelesaikan kesesakan pada waktu pagi dan petang.

“Sebenarnya di situ ada jalan yang boleh dilalui ke jalan besar iaitu menghala ke Pandan Indah namun disebabkan berlaku pencerobohan, jalan tersebut telah ditutup,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: