Kaut untung jutaan ringgit!

Kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pagi tadi.
Kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pagi tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket memanipulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit.

Sindiket yang didalangi oleh lapan individu termasuk seorang pengarah syarikat dipercayai telah mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil perbuatan itu.

Kesemua mereka ditahan oleh SPRM dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang, lewat petang semalam.

Menurut sumber, sindiket terbabit menerusi tiga syarikat yang disiasat telah menyediakan perkhidmatan “SMS content services provider” iaitu penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbayar kepada pemegang telefon bimbit di seluruh negara.

"Modus operandinya dipercayai menghantar SMS berbentuk promosi atau untuk perkhidmatan tertentu kepada pelanggan tanpa persetujuan," katanya.

Menurutnya, pengguna akan dikenakan caj bayaran tertentu bermula RM0.50 hingga RM4.00 bagi setiap SMS yang dihantar tanpa disedari.

"Sasaran sindiket ini kebanyakannya ialah dalam kalangan pemegang telefon kad prabayar," katanya.

Tambahnya, sindiket tersebut turut dipercayai menyogok kakitangan syarikat telekomunikasi bagi mendedahkan nombor-nombor dan butir-butir peribadi pengguna untuk disalahgunakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan satu kesalahan yang amat serius dari segi Data Perlindungan Maklumat (DPA)," katanya.

Sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak lima tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan ke atas lapan individu terbabit dan siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Justeru, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama empat hari terhadap tujuh daripada mereka bermula hari ini.

Salah seorang daripadanya dilepaskan dengan jaminan SPRM.