Maritim tahan dua bot nelayan Vietnam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua bot bersama 11 nelayan Vietnam termasuk tekong kerana menceroboh perairan negara kira-kira 50 batu nautika dari Kuala Kemaman, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidihadi Abd Rashid berkata, bot yang ditahan pada kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia manakala sebuah bot lagi mempunyai dokumen lesen perikanan yang meragukan.

“Kami turut menemui kira-kira 50 kilogram hasil laut jenis gamat di dalam salah sebuah bot yang diperiksa. Semua bot termasuk hasil dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM600,000 berserta awak-awak berumur antara 25 dan 48 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta terhadap pemilik serta tekong, dan tidak melebihi RM100,000 bagi awak-awak, atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut rekod, sejak 2006 hingga kini, Maritim Terengganu telah melakukan 648 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di perairan negeri.

Rashidihadi berkata, pihak Maritim sentiasa memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan malah akan terus meningkatkan lagi rondaan serta kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.- Bernama

Artikel Berkaitan: