SPN tawar lebih 10,000 peluang pekerjaan

Reezal Merican (dua dari kanan); Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan); Fadillah (dua dari kiri) dan M Saravanan (kiri) melancarkan Skim Perantisan Nasional di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - Foto Rosli Talib
Reezal Merican (dua dari kanan); Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan); Fadillah (dua dari kiri) dan M Saravanan (kiri) melancarkan Skim Perantisan Nasional di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - Foto Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada belia menerusi Skim Perantisan Nasional (SPN).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, SPN sebagai penampan kepada golongan itu yang terjejas akibat Pandemik Covid-19.

Beliau berkata, dalam tempoh pasca Covid-19 ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat persediaan untuk membantu golongan ini termasuklah 300,000 graduan yang berdepan dengan kesukaran mendapat peluang pekerjaan.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan salah satu langkah pantas kerajaan untuk membantu belia keluar daripada statistik pengangguran yang mencecah 5.3 peratus pada Mei.

"Melalui penglibatan rakan strategik SPN, belia akan diberi peluang untuk ditempatkan di lebih 500 buah syarikat tempatan dan 13 syarikat multinasional.

"Antara rakan strategik SPN yang menawarkan peluang itu adalah Perbadanan Sumber Manusia Berhad, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), investKL, Federation of Malaysian Skill Development Centre (FMSDC) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SPN: Inisiatif Rentas Kementerian oleh KBS untuk Belia yang turut dihadiri Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, sebagai permulaan, SPN dilaksanakan bersama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia sebelum diteruskan di kementerian lain.

"Jika program ini berjalan dengan baik di dua kementerian, ia akan berjaya di semua kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memberi peluang kepada 7,800 belia tempatan mendapat latihan di syarikat pembinaan.

"Kita tahu golongan belia sangat meminati teknologi, saya fikir kita boleh memberi fokus kepada mereka terlibat terhadap 'new building information modelling'," katanya.

KBS membuka peluang kepada lebih banyak majikan menyertai inisiatif ini selain mengalu-alukan penyertaan belia dalam SPN dengan melayari portal eBelia di http://ebelia.iyres.gov.my.

Sekreteriat SPN boleh dihubungi melalui spn@kbs.gov.my untuk maklumat lanjut.