Pembentukan Rukun Negara ikut acuan masyarakat negara ini

Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama papan tanda Rukun Negara yang diukir dalam tulisan Rumi dan Cina. - Foto Facebook Selangor Royal Office
Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama papan tanda Rukun Negara yang diukir dalam tulisan Rumi dan Cina. - Foto Facebook Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Rukun Negara sentiasa dihayati rakyat walaupun Malaysia mengejar arus kemajuan kerana pembentukan Rukun Negara adalah mengikut acuan masyarakat negara ini.

Selangor Royal Office menerusi satu kenyataan memaklumkan bagi Sultan Selangor, Rukun Negara adalah perkara asas terpenting perlu diterapkan dalam naluri setiap rakyat bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang benar-benar patriotik, memelihara kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan.

Baginda bertitah, Rukun Negara digubal dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan rakyat yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.

Menjadi hasrat Sultan Selangor sejak sekian lama untuk melihat keutuhan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia,” menurut kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Selangor menitahkan pewaris seni pembuatan papan tanda, Ting Wee Chia mengukir sebuah papan tanda istimewa dengan paparan Rukun Negara dalam dua bahasa, sesuai dengan kepakarannya dalam kaligrafi Cina selepas kagum melihat hasil karya generasi ketiga yang berasal dari negeri Melaka itu.

Lima rangkai ideologi negara itu kini baginda abadikan dalam satu karya ukiran kayu papan tanda simbolik tradisional masyarakat Cina di Malaysia yang kini ditempatkan di Istana Alam Shah, Klang.

“Baginda menemui Wee Chia tiga tahun lalu di kedai yang diusahakannya di Jonker Walk, Melaka. Baginda tertarik dengan hasil ukiran kayu yang dipamerkan lantas berkenan untuk Wee Chia menyiapkan sebuah ukiran yang memuatkan prinsip Rukun Negara dalam tulisan Rumi dan Cina.

“Papan tanda Rukun Negara ini diperbuat daripada satu keping kayu balak jenis mersawa yang besar dengan saiz lilitan yang luas berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Kerja-kerja memahat menggunakan tangan sepenuhnya, melicin dan memperkemaskan papan tanda ini mengambil masa enam bulan bagi memastikan kualiti yang tinggi dan kekal sempurna seiring peredaran masa sesuai dengan nilai dibawa Rukun Negara itu sendiri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Sultan Selangor berpandangan, pada era 80-an pengisian dan penerapan nilai-nilai Rukun Negara tidak begitu diamalkan dan diterjemah dalam bentuk ikatan nasional yang kukuh.

Justeru, baginda mahu sambutan ke-50 penggubalan Rukun Negara tahun ini digunakan sebaiknya untuk menyemai kembali semangat patriotisme.

“Adalah menjadi harapan baginda, Rukun Negara mampu menjadi tunjang dalam mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat serta mencipta sebuah masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama,” kata kenyataan itu.